TUMPAT – Polis sedang memburu suspek yang dipercayai terlibat dalam kes memecah dan mencuri wang derma di dalam tabung di empat buah masjid di daerah ini.
Ketua Polis Daerah Tumpat, Asisten Komisioner Mohd. Khairi Shafie berkata, pihaknya menerima empat laporan berhubung kejadian tersebut yang berlaku bermula Isnin lalu sehingga semalam.
Katanya, kes pecah tabung itu berlaku di Masjid Al Aziz Al Hadi di Mukim Kota Warisan, Masjid Nurul Hidayah Kampung Gerong dekat Palekbang, Masjid Kampung Kok Keli, Palekbang dan Masjid Ar-Rahman, Kubang Batang di Chabang Empat.
“Kesemua laporan polis itu telah dibuat oleh ahli jawatankuasa keempat-empat masjid itu selepas mendapati tabung derma sudah tiada. Anggaran sebenar kerugian dalam kes itu masih belum dapat dipastikan lagi.
“Siasatan awal mendapati, suspek menggunakan modus operandi yang sama iaitu mengalihkan tabung masjid sebelum mengumpil tabung berkenaan,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Mohd. Khairi memberitahu, polis sedang giat mengesan suspek yang terlibat dan kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri di dalam bangunan. – KOSMO! ONLINE














