fbpx
Hussein (kanan) mengadakan lawatan ke ibu pejabat Media Mulia Sdn. Bhd. di Petaling Jaya, hari ini. Foto oleh SHIDDIEQIIN ZON/KOSMO!

Keldai dadah Eropah buru bunga ganja Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Warga asing dari negara Eropah dan United Kingdom (UK) dikesan semakin cenderung memasuki Malaysia semata-mata untuk mendapatkan bunga ganja sebelum menyeludup keluar bahan terlarang itu ke negara masing-masing.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, risikan mendapati pelancong dari negara terbabit lazimnya berada di Malaysia antara dua hingga tiga hari sebelum berlepas pulang.

“Mereka membawa bunga ganja ke negara masing-masing untuk diproses menjadi ekstrak dan digunakan dalam produk vape.

“Ini kerana bunga ganja mendapat permintaan yang tinggi di pasaran Eropah,” katanya ketika ditemui selepas mengadakan lawatan ke ibu pejabat Media Mulia Sdn. Bhd. di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Hussein berkata, kebanyakan individu yang menjadi keldai dadah terjerat dengan sindiket kerana masalah hutang, selain tertipu dengan tawaran pekerjaan palsu atau habuan lumayan yang dijanjikan.

Katanya, upah keldai dadah di Malaysia dianggarkan RM5,000 hingga RM10,000.

“Kebiasaannya mereka akan menerima wang pendahuluan selain tiket penerbangan, penginapan hotel selain keperluan perjalanan turut ditanggung oleh sindiket.

“Sebagai balasan, mereka dikehendaki membawa bagasi yang mengandungi dadah. Ada antara mereka yang mengetahui kandungan bagasi tersebut, selain ada juga yang tidak menyedarinya,” jelasnya.

Tambah beliau, terdapat keldai dadah menyangka mereka hanya membawa bagasi untuk diserahkan kepada pihak yang menaja atau menguruskan perjalanan.

Dalam perkembangan sama, Hussein berkata, majoriti individu yang ditahan berusia dalam lingkungan 20 hingga 30-an.

Sepanjang enam bulan tahun ini, seramai 41 individu ditahan selepas disyaki terbabit dalam kegiatan pengedaran dadah dengan sembilan daripada mereka merupakan rakyat Malaysia.

“Ada yang ditahan di Macau, selain Taiwan dengan tangkapan terbaharu membabitkan seorang suspek di Sri Lanka,” katanya.

Menurut beliau, bukan semua suspek ditahan kerana membawa dadah dari Malaysia kerana ada yang mendapatkan bekalan dari Thailand atau negara lain sebelum ditahan di negara destinasi.

“Ini menunjukkan mereka terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah di negara lain bukan semata-mata bawa dadah dari Malaysia,” katanya.

Sehubungan itu, Hussien mengingatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada sekiranya ditawarkan pekerjaan atau diminta membantu membawa bagasi milik individu lain ke luar negara.

Katanya, mereka tidak seharusnya menerima tawaran tersebut sekiranya tidak mengetahui kandungan sebenar.

“Terima tanggungjawab tersebut apabila anda benar-benar mengetahui dan yakin akan kandungan bagasi itu,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN