KUALA KRAI – Penantian sepasang suami isteri selama 19 tahun apabila lapan anak mereka hidup tanpa dokumen pengenalan diri yang sah sepanjang tempoh tersebut berakhir selepas kesemua anak menerima sijil lahir daripada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) hari ini.
Kesemua lapan beradik yang berusia dalam lingkungan enam hingga 16 tahun itu memperoleh dokumen tersebut menerusi Program Menyemai Kasih Rakyat (Mekar) di Kampung Johal di sini.
Lapan anak pasangan tersebut ialah Muhammad Hamizul Zatpni, 19, Muhammad Hilkairi, 17, Muhammad Hilkar, 16, Siti Nor Rubillah, 14, Siti Nor Rossa, 13, Siti Norria Akila, 11, Muhammad Narwa Ahadi, 8, dan Muhammad Hafitdan, 6.
Lebih mengharukan, pasangan Zatpni Abd. Wahab, 53, dan Nursyuhada Wahab, 40, kini berazam menghantar enam daripada lapan anak mereka yang berusia antara enam hingga 16 tahun ke sekolah pada tahun depan meskipun mereka sudah jauh ketinggalan dalam pelajaran.
Nursyuhada berkata, dia berhasrat untuk memastikan anak-anaknya memperoleh peluang pendidikan seperti orang lain selepas urusan mendapatkan sijil kelahiran berjaya diselesaikan.
“Saya berasa bersyukur apabila pihak JPN dapat membantu menguruskan semua sijil lahir lapan anak yang berusia antara enam hingga 19 tahun.
“Sehubungan itu, saya akan menghantar mereka ke sekolah pada tahun depan walaupun banyak ketinggalan dalam pelajaran,” katanya semasa menerima dokumen tersebut yang diserahkan oleh Ketua Pengarah JPN, Datuk Badrul Hisham Alias di Kampung Johal, di sini hari ini.
Nursyuhada memberitahu, sebelum ini, urusan menguruskan sijil kelahiran amat sukar berikutan jarak pejabat JPN yang jauh selain kekangan pengangkutan.
Katanya, ketiadaan sijil kelahiran turut menyebabkan urusan mendapatkan rawatan di klinik bagi anak-anak mereka berdepan kesukaran walaupun kesemua mereka dilahirkan di Hospital Sultan Ismail Petra di sini.
“Saya dan suami berterima kasih kepada pihak JPN dan badan bukan kerajaan yang banyak membantu sebelum ini,” katanya. – KOSMO! ONLINE














