Dadah Mauritius: Padam mesej Telegram selepas rakyat Malaysia ditahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Tiga rakyat Malaysia termasuk pasangan suami isteri muda yang ditahan bersama 76 kilogram (kg) ganja di Mauritius pada 2 November lalu ditawarkan upah RM1,000 bagi setiap bagasi berisi dadah yang dibawa ke negara itu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, pasangan dari Pulau Pinang berusia 18 dan 22 tahun itu direkrut sebagai keldai dadah selepas berkenalan dengan seorang individu menerusi aplikasi RedNote.

Katanya, siasatan mendapati pasangan tersebut dihubungi seorang individu melalui Telegram selepas berkenalan menerusi aplikasi RedNote.

“Pasangan itu bersetuju membawa masing-masing dua bagasi dengan tiket penerbangan dan penginapan hotel dibiayai sepenuhnya oleh individu berkenaan.

“Dua suspek tersebut diarahkan pergi ke Bangkok, Thailand untuk mengambil empat bagasi berkenaan sebelum meneruskan perjalanan ke Mauritius melalui Dubai.

“Mereka juga diarahkan memuat turun aplikasi Life360 bagi membolehkan pergerakan dipantau oleh individu yang mengendalikan penghantaran tersebut,” katanya di sini semalam.

Menurut Hussein, pasangan suami isteri tersebut turut menyerahkan salinan pasport kepada individu berkenaan melalui Telegram.

Jelasnya, siasatan awal mendapati pasangan itu tiba di Mauritius atas tujuan percutian dan dijadualkan menginap selama lima hari di negara berkenaan.

“Kedua-dua suspek menyedari perbualan dalam kumpulan Telegram dipadamkan dan individu dipercayai ketua sindiket meninggalkan kumpulan selepas mereka ditahan,” ujarnya.

Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerima maklumat ketiga-tiga suspek ditahan sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Sir Seewoosagur Ramgoolam (SSRIA) pada pukul 2.35 petang, 2 November lalu dengan menaiki pesawat Emirates EK709 dari Dubai.

“Pemeriksaan terhadap bagasi pasangan itu menemukan 60 paket plastik mengandungi bahan disyaki ganja seberat 65kg. Pemeriksaan turut menemukan peranti pengesan jenama Apple di dalam setiap bagasi yang dibawa suspek.

“Seorang lagi suspek lelaki berusia 30 tahun dari Sabah dan bekerja di Singapura ditahan bersama 10 paket plastik disyaki berisi ganja.

“Siasatan awal mendapati lelaki itu melihat iklan pekerjaan di Singapura menerusi Facebook sebelum dihubungi seorang individu melalui Telegram,” katanya.

Terdahulu, Pihak Berkuasa Hasil Mauritius mengesahkan penahanan tiga rakyat Malaysia selepas 70 bungkusan mengandungi 76.14 kg dadah ditemukan di dalam bagasi mereka sebaik tiba di SSRIA.

Rampasan itu dianggarkan bernilai 114.21 juta Rupee Mauritius (RM9.87 juta) mengikut harga pasaran di negara itu.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN