Noah ketika berkunjung di pejabat Anwar di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya hari ini.

Jangan risau Trevor Noah, jadi apa-apa kita ‘crowdfunding’ – Anwar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima kunjungan pelawak antarabangsa dan bekas pengacara The Daily Show, Trevor Noah di pejabatnya di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya hari ini.

Anwar menerusi hantaran Facebook turut berkongsi beberapa keping gambar kunjungan Noah ke pejabatnya selain topik perbualan antara mereka berdua.

“Seronok terima kunjungan Trevor Noah hari ini, kami sempat bicara soal politik, humor dan macam-macam cerita yang diselang-seli gelak tawa.

“Saya juga sempat titip beberapa panduan tentang bahan gurauan yang boleh dibawa ke pentas malam ini. Harap tak ada yang terasa.

“Apa pun, jangan risau Trevor, kalau apa-apa jadi malam ini, kita crowdfunding (kutipan dana awam) ramai-ramai,” katanya.

Noah berkunjung ke negara ini bagi mengadakan persembahan pertama di Malaysia menerusi satu pertunjukan khas di Idea Live Arena, Kuala Lumpur pada semalam dan hari ini.

Noah mula meraih perhatian antarabangsa selepas mengambil alih tugas sebagai hos The Daily Show pada 2015.

Sepanjang tujuh tahun menerajui program itu, Noah dikenali kerana pendekatannya yang segar dalam mengupas isu politik, budaya dan masyarakat global.

Selepas meninggalkan rancangan berkenaan pada 2022, Noah terus mengembangkan kerjayanya menerusi penerbitan kandungan digital, podcast What Now? With Trevor Noah, selain menerajui syarikat produksinya, Day Zero Productions, dan Yayasan Trevor Noah. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN