fbpx
Hussein ketika ditemui pemberita di IPK Selangor. Foto oleh FAUZI BAHARUDIN

Warga China jadi keldai dadah ambil kokain di Penang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SHAH ALAM – Sindiket dadah dikesan tidak lagi menggunakan rakyat negara ini, sebaliknya memperalatkan warga China sebagai keldai dadah untuk menyeludup kokain dari Malaysia ke Hong Kong menerusi laluan penerbangan Pulau Pinang.

Kegiatan itu terbongkar selepas Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman mengesan tiga kes membabitkan warga China yang menggunakan modus operandi sama.

Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, dua daripada individu terbabit ditahan pihak berkuasa Hong Kong, manakala seorang lagi diberkas di Pulau Pinang.

Menurutnya, kesemua mereka memasuki Malaysia menerusi Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebelum bergerak ke Pulau Pinang melalui jalan darat.

“Mereka datang ke KLIA, kemudian bergerak ke Pulau Pinang dan mengambil penerbangan lain ke Hong Kong dengan membawa dadah jenis kokain.

“Kita dapat kesan setakat ini tiga kes melibatkan warga China yang dieksploitasi sebagai keldai dadah,” katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis pelupusan barang kes Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini, hari ini.

Beliau berkata, siasatan mendapati kegiatan itu dipercayai dikendalikan sebuah sindiket yang mempunyai dalang bagi mengatur pergerakan pembawa dadah berkenaan.

Katanya, sindiket dipercayai menguruskan pasport baharu untuk warga China terbabit sebelum mereka melakukan perjalanan ke Malaysia.

“Kita percaya ada dalang dan satu sindiket menggunakan modus operandi sama. Mereka diberikan pasport yang diuruskan sindiket dan dipercayai pertama kali melakukan perjalanan ke luar negara,” katanya.

Mengulas pemilihan Pulau Pinang sebagai lokasi transit, Hussein berkata, tindakan itu berkemungkinan bertujuan mengaburi pihak penguat kuasa dengan menukar laluan penerbangan.

“Mungkin sindiket telah mengeksploitasi laluan bagi penerbangan daripada Pulau Pinang ke Hong Kong,” katanya.

Dalam pada itu, PDRM sedang menjejaki kemungkinan terdapat individu lain yang sudah terlepas atau sedang dalam proses melakukan kegiatan sama.

Hussein berkata, pihaknya percaya sindiket berkenaan mempunyai rangkaian lebih luas yang perlu dibongkar bagi mengekang kegiatan penyeludupan kokain menggunakan Malaysia sebagai laluan transit.

Kosmo! sebelum ini melaporkan lelaki warga China yang ditahan membawa dua kilogram (kg) dadah disyaki kokain di Lapangan Terbang Antarabangsa Hong Kong dipercayai memperoleh bahan terlarang itu daripada individu tidak dikenali di sebuah pasar raya di Pulau Pinang.

Suspek berusia 25 tahun ditahan oleh Jabatan Kastam dan Eksais Hong Kong pada 22 Oktober lalu selepas tiba dari Pulau Pinang. – KOSMO! ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN