MOHD. ALI (tengah) menyempurnakan Majlis Penutupan Seminar Peranan Koperasi Memperkukuh Keterjaminan Makanan Negara di Hotel Lexis, di Port Dickson.

Sektor koperasi perkukuh keterjaminan makanan negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PORT DICKSON – Lebih 300 koperasi yang terlibat dalam sektor pertanian di seluruh negara disarankan supaya memperluas skala operasi, sekali gus meningkatkan pengeluaran makanan dan memperkukuh keterjaminan makanan negara.

Ketua Pengarah Institut Koperasi Malaysia (IKMa), Datuk Dr. Mohd. Ali Mansor berkata, pendekatan secara berskala besar lebih menguntungkan berbanding mengusahakan tanah pertanian secara kecil-kecilan.

Menurutnya, kebanyakan koperasi khususnya di kawasan luar bandar mempunyai potensi untuk membangunkan tanah terbiar yang boleh dimanfaatkan bagi aktiviti pertanian.

“Kalau diusahakan secara kecil, ia tidak begitu menguntungkan. Tetapi jika koperasi bergabung untuk mewujudkan keluasan tanah yang lebih besar, kita dapat mencapai ekonomi skala dan meningkatkan hasil pengeluaran.

“Pada masa sama, agensi kerajaan juga lebih mudah menyalurkan bantuan, bimbingan, geran dan pinjaman,” katanya kepada Kosmo! selepas merasmikan Majlis Penutupan Seminar Peranan Koperasi Memperkukuh Keterjaminan Makanan Negara kelmarin.

Seminar anjuran Sektor Keberhasilan IKMa selama dua hari itu menghimpunkan seramai 162 peserta yang terdiri daripada ahli koperasi seluruh negara.

Turut hadir Timbalan Pengarah Bahagian Pembangunan Perniagaan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Zainudin Mohamed.

Mohd. Ali berkata, ketika ini terdapat lebih 16,000 koperasi di Malaysia dengan jumlah perolehan melebihi RM80 billion setahun, namun hanya sekitar 300 daripadanya terlibat secara langsung dalam aktiviti pertanian yang tertumpu kepada tanaman kelapa sawit, selain durian, buah-buahan, nanas dan padi.

Bagaimanapun menurutnya, jumlah itu tidak semestinya menggambarkan kapasiti sebenar sektor berkenaan kerana terdapat koperasi yang memiliki tanah pertanian berkeluasan besar sehingga 20,000 ekar.

“Harapan saya, jumlah koperasi pertanian ini dapat dikekalkan atau ditingkatkan, namun yang lebih penting ialah keupayaan mereka diperkasakan supaya ladang dapat diusahakan secara berskala besar,” katanya.

Tambahnya, IKMa turut memainkan peranan menyediakan latihan dan pendidikan kepada koperasi, manakala Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan melalui agensi seperti MARDI serta Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia menyediakan kepakaran, bimbingan dan bantuan berkaitan.

Dalam perkembangan sama, beliau turut menggalakkan koperasi mengamalkan prinsip kelestarian berasaskan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) sebagai sebahagian daripada pengurusan organisasi.

Katanya, amalan ESG wajar dijadikan antara kriteria penilaian bagi pengiktirafan 100 Koperasi Terbaik supaya organisasi berkenaan bukan sahaja cemerlang dari segi keuntungan, malah bertanggungjawab terhadap alam sekitar dan masyarakat.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN