PUTRAJAYA – Mahkamah Rayuan di sini menetapkan satu tarikh lain bagi keputusan rayuan pendakwah bebas Firdaus Wong Wai Hung terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan saman pemula lapan individu berhubung video penukaran agama kanak-kanak bawah umur.
Hakim Datuk Mohamed Zaini Mazlan yang mengetuai panel tiga hakim menetapkan tarikh lain itu selepas mendengar hujah daripada kedua-dua pihak yang mana Firdaus Wong selaku perayu manakala lapan individu itu selaku responden.
“Memandangkan ia melibatkan isu perlembagaan yang sangat penting, oleh itu kami perlu meneliti dengan sewajarnya dan pada masa yang sesuai. Adalah wajar sekiranya keputusan kami nanti disertakan dengan alasan penghakiman yang lengkap. Kami mungkin memerlukan sedikit masa untuk mencapai keputusan tersebut,” kata Hakim Zaini yang menetapkan 27 Ogos untuk pengurusan kes bagi menentukan tarikh keputusan.
Dua lagi hakim yang turut bersidang ialah Datuk Nadzarin Wok Nordin dan Datuk Seri Latipah Mohd. Tahar.
Terdahulu peguam Norazali Nordin yang mewakili Firdaus Wong, berhujah bahawa rayuan hari ini adalah persoalan perlembagaan yang asas, iaitu sama ada seseorang individu boleh menyaman individu lain semata-mata atas dakwaan pelanggaran Perlembagaan Persekutuan.
Beliau menghujahkan bahawa hak perlembagaan bertujuan untuk mengawal selia hubungan antara rakyat dengan Negara, dan dengan sendirinya tidak mewujudkan hak tindakan peribadi antara individu memandangkan Firdaus Wong disaman atas kapasiti peribadi.
Sementara peguam M.Visvanathan yang mewakili lapan individu itu pula berhujah Mahkamah Tinggi telah membuat keputusan yang tepat dengan menyatakan video perayu itu melanggar hak perlembagaan ibu bapa untuk menentukan agama anak-anak mereka yang masih di bawah umur secara tidak sah.
Beliau menegaskan bahawa kes ini bukan mengenai agama atau peranan perayu sebagai pendakwah Islam, sebaliknya mengenai usaha melindungi hak perlembagaan yang terpakai secara saksama kepada semua rakyat Malaysia tanpa mengira pegangan agama.
“Dakwaan perayu yang menyatakan individu persendirian tidak boleh disaman atas pelanggaran hak perlembagaan orang lain adalah tidak tepat dari segi undang-undang. Oleh itu, tindakan Mahkamah Tinggi mengisytiharkan video tersebut sebagai menyalahi undang-undang dan mengarahkan supaya ia dipadamkan adalah wajar,” kata peguam tersebut.
Pada Oktober tahun lalu, media melaporkan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan bahawa ibu bapa kepada kanak-kanak bukan Islam mempunyai hak untuk menyaman Firdaus Wong berhubung satu video TikTok yang tular di mana beliau didakwa menggalakkan penukaran agama kanak-kanak kepada Islam secara rahsia.
Dalam penghakimannya, Hakim Datuk Amarjeet Singh Serjit Singh (yang kini Hakim Mahkamah Rayuan) menyatakan bahawa Firdaus Wong telah melanggar hak ibu bapa di bawah Perkara 12 Perlembagaan Persekutuan untuk menentukan agama anak-anak mereka, dan oleh itu, ibu bapa boleh menyaman beliau atas tindakan tersebut.
Sebelum ini tindakan undang-undang di Mahkamah Tinggi yang difailkan lapan individu bukan Islam itu memohon perisytiharan bahawa video beliau adalah tidak berpelembagaan, menyalahi undang-undang, dan terbatal kerana bercanggah dengan Perkara 12(4) Perlembagaan Persekutuan, serta memohon supaya video itu dipadamkan yang mana perintah yang telah diberikan pada 10 Julai 2025.
Pada masa sama, Hakim Amarjeet Singh turut mengarahkan Firdaus Wong memadamkan video itu secara kekal dan melarangnya memuat naik video atau mengeluarkan kenyataan serupa. – KOSMO! ONLINE














