fbpx
TERTUDUH diiringi anggota polis selepas dihadapkan dengan 10 pertuduhan amang seksual fizikal terhadap tujuh kanak-kanak lelaki. - Foto oleh AMRAN ALI/ KOSMO!

Pembantu warung didakwa amang seksual 7 budak lelaki

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MELAKA – Seorang pembantu warung dihadapkan di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh di sini, hari ini atas 10 pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap tujuh kanak-kanak lelaki berusia antara sembilan hingga 13 tahun, sejak Mac lalu.

Tertuduh, Mohamad Saiful Nizam Abd. Rahman, 36, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Raja Noor Adilla Raja Mahyaldin dan Hakim Rohatul Akmar Abdullah.

Di hadapan Raja Noor Adilla, tertuduh didakwa atas lima pertuduhan membabitkan empat kanak-kanak lelaki.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, tertuduh didakwa dengan sengaja melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja lelaki berusia 13 tahun masing-masing di sebuah rumah dan di kaki lima sebuah kedai serbaneka Taman Seri Telok Emas pada Mac serta 12 Julai lalu.

Bagi pertuduhan tiga hingga lima, tertuduh didakwa melakukan perbuatan sama terhadap tiga kanak-kanak lelaki lain berusia antara 10 hingga 11 tahun di Taman Desa Duyong pada Mei dan 4 Julai lalu.

Kesemua pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dengan tertuduh diwakili oleh Peguam, Razif Toha manakala Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Qaiyyum Ramlan.

Mahkamah kemudian membenarkan jaminan RM10,000 bagi dua pertuduhan pertama dan RM15,000 bagi tiga pertuduhan berikutnya, masing-masing dengan seorang penjamin serta syarat tambahan seperti dipohon pihak pendakwaan. Sebutan semula kes ditetapkan pada tarikh 27 Ogos ini untuk serahan dokumen.

Dalam prosiding berasingan di hadapan Rohatul Akmar, tertuduh didakwa atas lima pertuduhan amang seksual fizikal terhadap tiga lagi kanak-kanak lelaki berusia antara sembilan hingga 11 tahun. Mahkamah turut menetapkan tarikh 29 September ini sebagai sebutan semula kes dan serahan dokumen. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN