KULIM – Seorang lelaki Bangladesh didenda RM6,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah memiliki lima pasport milik individu lain tanpa kuasa yang sah, bulan lalu.
Tertuduh, Md Rajib, 37, yang merupakan pekerja pembersihan membuat pengakuan itu selepas pertuduhan tersebut dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret, Nor Hamizah Mat Shah.
Hamizah turut memerintahkan tertuduh dipenjara 12 bulan sekiranya gagal membayar denda dikenakan. Tertuduh menjelaskan denda tersebut.
Mengikut pertuduhan, tertuduh bersama seorang lagi individu yang masih bebas didakwa memiliki tiga pasport warganegara Myanmar dan dua pasport warganegara Bangladesh yang dikeluarkan untuk kegunaan individu lain.
Perbuatan itu didakwa dilakukan tertuduh di sebuah premis di Taman Kota Kenari, di sini kira-kira pukul 10 malam, 27 Jun lalu.
Pendakwaan terhadapnya dilakukan mengikut Seksyen 12(1)(f) Akta Pasport 1966 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM10,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, S. Preeyaa memohon hukuman setimpal, manakala peguam, Fieza Fazlin Fandi memohon hukuman ringan dengan alasan tertuduh merupakan pencari nafkah utama kepada isteri dan tiga anaknya di Bangladesh serta bekerja dalam sektor pembersihan di negara ini sejak lapan tahun lalu. – KOSMO! ONLINE














