fbpx
SABARIAH dihadapkan ke Mahkamah Majistret Johor Bahru hari ini atas pertuduhan mengelak pembayaran duti kastam berjumlah RM150,318.50, enam tahun lalu.

Pengarah syarikat berdepan denda hingga RM3 juta liat bayar duti kastam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

JOHOR BAHRU – Seorang pengarah sebuah syarikat import dan eksport berdepan denda sehingga RM3 juta selepas didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan mengelak pembayaran duti kastam berjumlah RM150,319.50, enam tahun lalu.

Tertuduh, Sabariah Ibrahim, 58, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nurzihan Abdul Rehman.

Mengikut kertas pertuduhan, wanita itu didakwa secara sedar terlibat dalam pengelakan secara fraud pembayaran duti kastam berjumlah RM150,319.50 di Cawangan Import, Bangunan Sultan Iskandar (BSI), pada pukul 3.41 petang, 2 Januari 2020.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 135(1)(g) Akta Kastam 1967 yang dibaca bersama Seksyen 140 akta sama dan boleh dihukum di bawah Seksyen 135(1)(i)(aa) akta berkenaan.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan denda minimum 10 kali ganda nilai duti yang dielakkan iaitu RM1,503,195 hingga maksimum 20 kali ganda atau RM3,006,390, atau dipenjarakan sehingga lima tahun, atau kedua-duanya sekali.

Mahkamah kemudian membenarkan Sabariah diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin sebelum menetapkan 1 September depan untuk sebutan semula kes dan serahan dokumen.

Dalam prosiding berasingan di mahkamah sama, Syarikat Perkhidmatan Import dan Eksport Toon Sdn. Bhd. turut didakwa atas pertuduhan mengelak pembayaran duti kastam membabitkan nilai yang sama.

Sabariah yang hadir sebagai wakil syarikat mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadap syarikat dibacakan.

Syarikat itu didakwa mengikut Seksyen 135(1)(g) Akta Kastam 1967 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 135(1)(i)(aa) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda serta penjara jika disabitkan kesalahan.

Mahkamah menetapkan 6 Ogos depan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi tujuan serahan dokumen, manakala tiada jaminan dikenakan terhadap syarikat.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Amiera Wahyunie Zainordin dan Atheerah Azizan, manakala Sabariah serta syarikat diwakili peguam Abd. Rahim Ali. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN