KUALA LUMPUR – Seorang pengarah syarikat kerugian sebanyak RM10 juta selepas dipercayai menjadi mangsa penipuan membabitkan tawaran projek penyelenggaraan jalan raya di sebuah negeri di Pantai Timur.
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Hoo Chang Hook menegsahkan menerima laporan berhubung perkara itu, kelmarin.
Menurut beliau, siasatan awal mendapati mangsa diperkenalkan kepada seorang individu pada 2024 yang menawarkan peluang kerjasama untuk mendapatkan projek penyelenggaraan jalan raya di negeri berkenaan.
“Mangsa kemudian dipercayai membuat dua transaksi berjumlah RM10 juta ke akaun peribadi suspek selepas dijanjikan peluang kerjasama dalam projek tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, bagaimanapun, selepas membuat semakan pada tahun lalu, mangsa mendapati projek yang ditawarkan itu sebenarnya tidak wujud.
“Mangsa kemudian cuba mendapatkan penjelasan daripada suspek, namun individu berkenaan didakwa memberikan pelbagai alasan sebelum menyedari bahawa dirinya telah diperdaya.
“Susulan itu, mangsa tampil membuat laporan polis untuk siasatan lanjut,” ujarnya.
Chang Hook berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan, namun siasatan masih di peringkat awal dan setakat ini belum ada sebarang tangkapan dibuat. – KOSMO! ONLINE














