fbpx
Tangkap layar beberapa komen pengguna di Threads.

Penduduk Lembah Klang dakwa terasa gegaran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Beberapa penduduk di sekitar Lembah Klang mendakwa merasai gegaran sehingga menyebabkan meja, katil dan bangunan mereka bergoyang kira-kira pukul 12.21 tengah hari tadi.

Dakwaan tersebut dikongsikan menerusi aplikasi Threads oleh pengguna dari beberapa kawasan termasuk Kepong, Sentul, Petaling Jaya, dan Kota Kemuning.

Seorang pengguna akaun @nasiha.is bertanya sama ada gempa bumi berlaku selepas merasakan keadaan di sekelilingnya bergoyang secara tiba-tiba.

“Ada gempa bumi ke? Rasa bergoyang sebentar tadi,” katanya.

Perkongsian itu kemudian menerima respons daripada seorang pengguna di Sentul yang pada awalnya menyangka dirinya sedang bermimpi ketika merasai gegaran tersebut.

Seorang lagi pengguna mendakwa turut merasai gegaran di Port Dickson, Negeri Sembilan, manakala pengguna lain melaporkan pengalaman sama di sekitar Petaling Jaya dan Kepong.

“Masa 12.21 tengah hari. Lokasi Kepong. Ada tak yang rasa gempa bumi tadi?” soal seorang pengguna.

Menurut pengguna di Aman Puri, dia pada mulanya menyangka gegaran tersebut berpunca daripada rakan sekerjanya yang menggoyangkan meja bersebelahan.

“Ada, dekat Aman Puri pun rasa. Saya ingat rakan sekerja di meja sebelah yang menggoyangkan meja,” katanya.

Seorang penghuni kondominium di tingkat 12 pula mendakwa katilnya bergoyang sehingga menyangka dirinya sedang pening.

“Baru sahaja rasa. Saya duduk di kondominium tingkat 12. Ingatkan saya pening, tetapi katil pun bergoyang,” ujarnya.

Seorang lagi pengguna berkata, gegaran itu turut membuatkannya berasa pening, manakala penduduk di Kota Kemuning mendakwa merasakan pergerakan kecil di kawasan berkenaan.

“Ada gempa bumi ke? Rasa bergoyang-goyang sedikit dekat Kota Kemuning,” katanya.

Setakat tengah hari ini, belum terdapat pengesahan rasmi daripada Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) berhubung gegaran yang didakwa dirasai penduduk tersebut. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN