fbpx
Mohd. Yusri pada sidang akhbar Majlis Penutupan Ujian Rentas Halangan Jabatan KDNKA 2026 di Lapang Sasar Briged Tengah PGA, Cheras, hari ini. Foto oleh AMIR KHALID/ KOSMO!

PRN N. Sembilan: 200 pegawai, anggota KDNKA ditugaskan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersedia menggerakkan kira-kira 200 pegawai dan anggota bagi membantu penugasan keselamatan sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.

Pengarah Jabatan KDNKA Datuk Seri Mohd. Yusri Hassan Basri berkata, persiapan telah digerakkan lebih awal menerusi latihan, kursus serta program pembangunan kompetensi bagi memastikan semua pegawai dan anggota yang terlibat bersedia menjalankan tugas di lapangan.

Menurutnya, seperti pelaksanaan PRN di Johor sebelum ini, semua jabatan dalam PDRM akan turut memainkan peranan dalam memberi sokongan sumber manusia dan logistik bagi memastikan kelancaran proses pilihan raya.

“Semua jabatan dalam PDRM, bukan hanya KDNKA, akan terlibat dalam memberi bantuan sumber manusia dan logistik sepanjang PRN berlangsung.

“Pada PRN Johor, KDNKA telah menghantar seramai 850 pegawai dan anggota. Bagi PRN Negeri Sembilan pula, kita menjangkakan kira-kira 200 pegawai dan anggota akan digerakkan memandangkan saiz negeri serta jumlah kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) adalah lebih kecil berbanding Johor,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar Majlis Penutupan Ujian Rentas Halangan Jabatan KDNKA 2026 di Lapang Sasar Briged Tengah PGA, Cheras, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pihaknya turut bekerjasama rapat dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam memberikan pendedahan serta latihan kepada pegawai dan anggota yang bakal ditugaskan.

“Matlamat kita adalah memastikan perjalanan PRN Negeri Sembilan berjalan dengan baik, lancar dan sempurna. Orang ramai dapat keluar mengundi tanpa rasa takut, bimbang atau curiga terhadap tahap keselamatan mereka.

“Dengan itu, pengundi boleh menunaikan tanggungjawab sebagai rakyat dalam suasana yang selamat, aman dan bebas,” katanya.

PRN Negeri Sembilan dijadualkan berlangsung pada 1 Ogos dengan 18 Julai sebagai hari penamaan calon dan 28 Julai sebagai hari pengundian awal. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN