HULU TERENGGANU – Badan Perhubungan UMNO Terengganu mengambil pendekatan tunggu dan lihat berhubung kerjasama politik yang sedang dijalin antara Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.
Pengerusi UMNO Terengganu, Datuk Rozi Mamat berkata, setakat ini, kerjasama politik sama masih belum dibincangkan di negeri ini namun ia boleh berubah mengikut pola politik semasa.
“Setakat ini, tiada lagi perbincangan (kerjasama politik antara BN dan Pas) di Terengganu.
“Kerjasama (politik) tiada masalah demi kepentingan rakyat tapi mungkin kerjasama di negeri lain, Pusat lain,” katanya di Tasik Kenyir di sini hari ini.
Terdahulu beliau ditemui selepas merasmikan kemudahan baharu jeti tambahan rumah bot Tasik Kenyir.
Rozi berkata, kerjasama politik berlainan di peringkat negeri dan Persekutuan itu bukan perkara baharu kerana ia telah dipraktikkan di Sarawak sebelum ini.
Dalam perkembangan sama, beliau yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO itu berkata, parti-parti politik termasuk BN perlu bijak menyesuaikan diri mengikut perubahan semasa.
“Kita kena bijak suaikan diri. Pola politik sekarang tidak boleh jangka, di Terengganu lain, Sarawak lain, Sabah lain, Negeri Sembilan lain, Johor pun lain,” katanya. – KOSMO! ONLINE














