KUALA LUMPUR – Perseorangan wanita negara, Wong Ling Ching terlepas peluang melakar kejutan pada Kejohanan Badminton Terbuka China apabila tersingkir di pusingan pertama selepas tewas kepada pemain Korea Selatan, Sim Yu Jin.
Pada perlawanan yang berlangsung di Gimnasium Pusat Sukan Olimpik, Changzhou sebentar tadi, Ling Ching terpaksa akur tewas menerusi aksi tiga set 21-17, 16-21, 17-21 dalam tempoh 50 minit.
Berdepan pemain lawan yang menghuni ranking ke-15 dunia, Ling Ching memulakan perlawanan dengan aksi cukup meyakinkan apabila berjaya mencatat kemenangan 21-17 di set pertama dan meletakkannya dalam laluan terbaik ke pusingan seterusnya.
Memasuki set kedua, pemain No.37 dunia itu sudah mendahului 13-8, namun dia secara tiba-tiba gagal mengekalkan rentak konsisten sehingga memberi peluang kepada Yu Jin mengutip mata demi mata dan menang 21-16.
Pada set ketiga, skrip sama kembali berulang apabila Ling Ching sekali lagi berada di depan 14-10, namun gagal untuk mempertahankan kedudukan selepas membenarkan lawan bangkit dan mencatat kemenangan.
Menerusi kekalahan Ling Ching, cabaran perseorangan wanita negara pada aksi Jelajah Dunia Super 1000 itu berakhir selepas seorang lagi pemain, K. Letshanaa turut berdepan nasib sama apabila tewas 16-21, 15-21 kepada Zhang Beiwen dari Amerika Syarikat.
Sementara itu, beregu campuran profesional, Goh Soon Huat-Shevon Lai meneruskan kemaraan ke pusingan kedua selepas menewaskan pasangan Jepun, Hiroki Midorikawa-Misaki Matsumoto 21-15, 16-21, 21-19.
Menjelang pusingan kedua esok, mereka dijadualkan berdepan wakil tuan rumah yang juga pilihan kelima kejohanan, Guo Xin Wa-Chen Fang Hui. – KOSMO! ONLINE














