TAMPIN – Pertambahan penduduk, pembukaan perumahan baharu serta kemasukan pekerja ke kawasan perindustrian menjadikan pembinaan sebuah lagi masjid di Gemas dilihat semakin mendesak bagi menampung keperluan masyarakat.
Seorang penduduk, Abdul Talib Idin, 62, yang menetap di Taman Seri Mutiara berkata, Masjid Jamek Gemas yang berusia lebih 60 tahun kini menerima kehadiran jemaah yang makin meningkat terutama setiap hari Jumaat.
Katanya, pada hari biasa, masjid itu menerima lebih 30 jemaah bagi setiap waktu solat, namun jumlahnya meningkat hingga melimpah keluar pada solat Jumaat.
“Masjid ini jadi tumpuan bukan sahaja penduduk sekitar, malah ramai anggota dari kem tentera solat di sini. Kalau boleh memang perlu sebuah lagi masjid yang lebih besar di Gemas supaya dapat tampung pertambahan jemaah pada masa depan.
“Pembinaan masjid baharu akan memberi keselesaan kepada jemaah selain memenuhi keperluan komuniti Islam yang semakin bertambah,” katanya ketika ditemui Kosmo! di sini semalam.
Seorang lagi penduduk, Kassim Ibrahim, 64, berkata, pembangunan pesat di Gemas memerlukan kemudahan awam termasuk rumah ibadat yang lebih moden dan mampu menampung jemaah.
Pesara Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) itu berkata, masyarakat sentiasa mengharapkan perubahan selari dengan perkembangan lokasi tersebut.
“Tapak yang pernah dicadang sebelum ini juga sesuai kerana dapat memberi kemudahan kepada penduduk dan kawasan berhampiran. Lagi pula masjid terdekat adalah di Kampung Ladang iaitu lebih tiga kilometer dari masjid ini,” ujarnya.
Sementara itu, bekas ADUN Gemas, Datuk Abdul Razak Ab. Said berkata, cadangan pembinaan masjid baharu itu bukan perkara baharu kerana ia telah dibincangkan sejak lebih empat tahun lalu.
Ujarnya yang merupakan antara jemaah masjid itu, pewakaf bersetuju mewakafkan masjid baharu atas nama keluarganya bagi tujuan pembinaan masjid.
“Keperluan ini semakin jelas apabila selain penduduk tempatan, lokasi Kem Syed Sirajuddin yang mempunyai lebih 1,300 unit rumah turut menyumbang kepada peningkatan jemaah,” katanya.














