PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir susulan jangkaan hujan lebat melibatkan beberapa kawasan di Semenanjung dan Sabah hingga pukul 11 pagi ini.
MetMalaysia dalam kenyataannya berkata, di Semenanjung, kawasan yang dijangka terlibat adalah Kedah (Kubang Pasu, Kota Setar, Pokok Sena, Yan, Pendang, Kuala Muda, Kulim dan Bandar Baharu), Pulau Pinang dan Perak (Kerian dan Larut, Matang Dan Selama).
“Hujan lebat turut diramal berlaku di Pahang (Rompin) dan Johor (Tangkak, Segamat, Muar, Batu Pahat, Pontian dan Johor Bahru),” katanya.
Di Sabah, amaran hujan lebat melibatkan kawasan Sandakan (Telupid, Beluran dan Sandakan) dan Kudat (Pitas dan Kudat).
MetMalaysia memaklumkan, amaran hujan lebat dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 milimeter sejam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.
Jelasnya, amaran tersebut adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran. – KOSMO! ONLINE














