IPOH – Hasrat seorang ahli perniagaan untuk meraih keuntungan lumayan melalui pelaburan mata wang kripto bertukar mimpi ngeri apabila dia kerugian sebanyak RM1.25 juta selepas menjadi mangsa sindiket penipuan pelaburan tersebut.
Ketua Polis Perak, Datuk Mohd. Alwi Zainal Abidin berkata, siasatan awal mendapati kejadian bermula sekitar Januari 2025 apabila mangsa diperkenalkan kepada beberapa individu yang menawarkan peluang pelaburan mata wang kripto dengan menjanjikan pulangan keuntungan yang tinggi.
Katanya, bagi meyakinkan mangsa, beberapa sesi penerangan telah diadakan sebelum ahli perniagaan itu bersetuju untuk menyertai skim pelaburan berkenaan.
“Dalam tempoh antara 28 Mac hingga 17 April 2025, mangsa telah membuat beberapa transaksi pemindahan aset digital ke dompet digital yang diarahkan suspek.
“Bagaimanapun, mangsa gagal memperoleh pulangan seperti yang dijanjikan selain tidak dapat mengeluarkan semula modal pelaburannya,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, menyedari dirinya telah ditipu hingga mengalami kerugian dianggarkan berjumlah RM1.25 juta, mangsa kemudian tampil membuat laporan polis pada 10 Julai lalu.
“Siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana kesalahan menipu,” katanya.
Dalam pada itu, Mohd. Alwi menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada terhadap sebarang tawaran pelaburan yang menjanjikan keuntungan luar biasa atau pulangan tetap yang tidak munasabah.
Katanya, orang ramai juga disaran membuat semakan latar belakang syarikat, platform dan individu yang menawarkan pelaburan sebelum membuat sebarang keputusan.
“Pelabur turut digalakkan mendapatkan nasihat daripada pihak berkuasa berkaitan serta mengelakkan sebarang pemindahan wang atau aset digital kepada individu atau akaun yang kesahihannya tidak dapat disahkan,” ujar beliau. – KOSMO! ONLINE















