SUNGAI PETANI – Dua penyeludup nekad mencampakkan dua bagasi dan sebuah beg galas mengandungi dadah disyaki jenis methamphetamine seberat 35.95 kilogram (kg) dianggarkan bernilai RM1.796 juta ke dalam laut ketika dikejar penguat kuasa kastam, bulan lalu.
Kejadian berhampiran Pulau Telur di perairan Yan kira-kira pukul 7 malam, 14 Jun lalu itu melibatkan sebuah bot dinaiki dua lelaki yang menuju ke perairan antarabangsa.
Pengarah Kastam Negeri Kedah, Wan Marini Wan Hamzah berkata, sepasukan anggota Cawangan Penguatkuasaan Marin Tanjung Dawai yang melakukan rondaan mengesan sebuah bot fiber tanpa nombor dalam keadaan mencurigakan.
“Anggota kemudian menghampiri bot itu dan mengarahkannya berhenti untuk pemeriksaan, namun dua lelaki dipercayai rakyat tempatan bertindak mencampakkan dua bagasi dan sebuah beg galas ke laut sebelum memecut laju ke arah perairan antarabangsa.
“Pasukan cuba mengejar bot tersebut, namun penyeludup sempat meloloskan diri. Hasil semakan ke atas dua bagasi dan beg yang dibuang itu menemukan sejumlah dadah jenis methamphetamine,” katanya pada sidang akhbar di Pejabat Kastam Cawangan Sungai Petani, hari ini.
Beliau berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengesan bot serta individu yang terlibat, termasuk mengenal pasti kemungkinan pembabitan sindiket jenayah rentas sempadan.
“Berdasarkan modus operandi dan penggunaan bot fiber laju itu kita percaya dadah tersebut hendak diseludup keluar negara melalui jalan laut. Siasatan lanjut turut mendapati dua lelaki yang berada di atas bot berkenaan dipercayai penduduk tempatan,” ujarnya sambil memberitahu kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Tambahnya, pihaknya sentiasa memantau perairan negara 24 jam melalui rondaan berkala dalam mengekang jenayah penyeludupan membabitkan dadah, minuman keras, mercun, kenderaan dan lain-lain kerana merugikan negara serta mendatangkan ancaman keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat. – KOSMO! ONLINE














