GEORGE TOWN – Polis Pulau Pinang melupuskan barangan kes membabitkan 565 kertas siasatan, dengan anggaran keseluruhannya berjumlah RM1.28 juta.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Dennis Lim Kwang Keng berkata, pelupusan barang kes tersebut adalah melibatkan Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) dan Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Daerah (BSJKD), Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut (IPD TL).
Menurutnya, kesemua barang kes yang dirampas itu adalah hasil daripada pelbagai operasi membanteras mesin perjudian, penjualan nombor ekor haram, rampasan barang kes noda dan maksiat, Op Kontraban serta operasi Op Ostrich.
Antara yang dilupuskan seperti minuman keras, rokok, peralatan hiburan dan cakera padat video (VCD) serta cakera padat digital (DVD).
“Sebanyak 218 kertas siasatan di bawah BSJD akan dilupuskan meliputi 15 kes kontraban, sembilan kes hiburan (noda) dan 194 kes judi (dadu), dengan nilai keseluruhan barang kes dianggarkan RM120,146.
“BSJKD pula merangkumi barangan kes VCD dan DVD lucah dianggarkan bernilai RM1.15 juta membabitkan 347 kertas siasatan bagi tempoh bermula tahun 2010 hingga 2017. Kesemua barang kes ini telah mendapat perintah pelupusan di bawah Seksyen 407(2) Kanun Prosedur Jenayah daripada Timbalan Pendakwa Raya,” katanya di sini, hari ini.
Beritahu beliau lagi, pelupusan barang kes merupakan proses penting dalam pengurusan penyiasatan dan ia bukannya sahaja memastikan stor simpanan berada dalam keadaan teratur dan selamat.
Dalam pada itu, tambahnya, majlis pelupusan barang kes akan diadakan di pekarangan IPD Timur Laut pada Jumaat ini. – KOSMO! ONLINE














