SEBUAH kediaman dilaporkan milik ibu bapa seorang suspek menjadi sasaran vandalisme di Malang, wilayah Jawa Timur kelmarin. – BERITASATU.COM

Kes buli hingga mati, polis berkas 4 remaja

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

JAKARTA – Polis menahan empat remaja disyaki menyerang seorang pelajar sekolah menengah berusia 17 tahun yang kemudian meninggal dunia di kota Malang, wilayah Jawa Timur, lapor laman berita Jakarta Globe semalam.

Mereka ditahan ketika polis meneruskan siasatan ke atas kes buli yang mencetuskan keresahan orang awam itu termasuk tindakan membakar dua kereta polis dan vandalisme di rumah seorang suspek.

Polis Malang berkata, empat remaja bawah umur itu dinamakan secara rasmi sebagai suspek kelmarin dan sedang ditahan di kemudahan pemulihan wanita. Pihak berkuasa berkata, mereka tidak akan dibebaskan sementara siasatan diteruskan.

Menurut polis, pihaknya akan menyempurnakan siasatan secara telus dan memastikan semua suspek didakwa di bawah undang-undang yang berkuat kuasa, namun kes mereka tertakluk di bawah sistem keadilan jenayah kanak-kanak Indonesia.

Mangsa yang dikenal pasti sebagai Silvianur Intania Putri,  merupakan  pelajar Sekolah Menengah Atas Negeri 7 Malang. 

“Silvia didakwa diserang oleh empat remaja berusia 16 dan 17 tahun malam Rabu lalu di kawasan perumahan Bulan Terang Utama di Madyopuro, daerah Kedungkandang,” kata Ketua Polis Kota Malang, Danang Setyo Pambudi Sukarno kelmarin.

Menurutnya, serangan  didakwa dirancang oleh salah seorang suspek yang dikenalpasti dengan singkatan SP, dipercayai didorong oleh perasaan dendam terhadap mangsa. 

Tiga suspek lain didakwa mengambil bahagian dalam serangan itu, dengan polis  mengenal pasti peranan berbeza dalam mengatur pertemuan dan melakukan keganasan.

Polis berkata,  mangsa didakwa ditumbuk dan ditendang di beberapa bahagian badannya, termasuk kepala, dada, dan perut serta dilaporkan tidak sedarkan diri selepas serangan itu.

Suspek didakwa membawa mangsa ke salah sebuah rumah mereka dan cuba memulihkannya dengan menyapu minyak kayu putih. 

Kira-kira 10 minit kemudian, mereka mendapati Silvia tidak lagi bernafas dan membawanya ke Hospital Lavalette, di mana kakitangan perubatan mengesahkan mangsa telah meninggal dunia.

Bedah siasat awal menunjukkan bahawa mangsa meninggal dunia akibat asfiksia yang dikaitkan dengan gangguan peredaran darah dan fungsi jantung, kata polis. 

Doktor forensik juga menemui dua kesan lebam di kepalanya, berukuran kira-kira 3 sentimeter di bahagian belakang kanan dan 2.5 sentimeter di sebelah kiri atas telinga mangsa.

Polis sedang menunggu pemeriksaan forensik lanjut, termasuk keputusan patologi anatomi, untuk mengenal pasti punca kematian secara lebih muktamad.

Sementara itu, keempat-empat suspek berdepan pertuduhan di bawah Artikel 80(3) bersama Artikel 76C Undang-Undang Perlindungan Kanak-Kanak Indonesia, yang membawa hukuman maksimum 15 tahun penjara dan denda sehingga 3 bilion rupiah (RM837,000). 

Bagaimanapun, prosiding terhadap remaja bawah umur akan mengikut Undang-Undang Sistem Keadilan Jenayah Kanak-Kanak.

Polis masih menyoal siasat  saksi dan mengumpul keterangan pakar, termasuk bukti forensik, sebelum menyerahkan fail kes kepada pendakwa raya.  –  AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN