KOTA KINABALU – Selangor FC membuktikan mereka sememangnya layak berada di puncak Liga Super apabila menewaskan Sabah FC 4-2 pada aksi ketujuh di Stadium Likas, semalam.
Lebih menggembirakan pengendali Selangor, Kim Pan-gon adalah kemampuan anak buahnya bangkit daripada kekecewaan selepas gagal melangkah ke final Piala FA sebelum ini.
Jurulatih dari Korea Selatan itu menyifatkan kemenangan tersebut sebagai bukti karakter sebenar The Red Giants yang tidak membiarkan kekecewaan menjejaskan misi memburu kejayaan.
“Saya amat menghargai pemain kerana mereka menunjukkan semangat The Red Giants. Ini perlawanan di tempat lawan yang sukar dengan pelbagai keadaan mencabar, tetapi kami bekerja keras.
“Saya fikir kami memang layak menang malam ini (semalam) kerana pemain memberikan usaha yang sangat tinggi. Mereka memberikan reaksi cukup baik walaupun kecewa tidak dapat ke final,” katanya.
Kemenangan itu menyaksikan Selangor FC mengumpul mata maksimum daripada tujuh aksi untuk merampas kedudukan teratas daripada juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT) yang masih mempunyai satu perlawanan dalam tangan.
Terdahulu, Selangor bermula garang apabila mendahului 2-0 menerusi jaringan Vitor Pernambuco dan Hugo Boumous sebelum tuan rumah bangkit menyamakan kedudukan hasil jaringan Gonzalo Di Renzo serta Mohd Fayadh Mohd Zulkifili Amin.
Bagaimanapun, Selangor FC segera memberikan reaksi balas apabila menambah dua lagi gol meneusi Quentin Cheng dan Muhammad Aliff Yuslan. – KOSMO! ONLINE














