Gambar hiasan.

DBKL peruntuk RM500,000 naik taraf Taman Sri Hartamas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memperuntukkan sebanyak RM500,000 bagi memperkasa kemudahan rekreasi dan pengindahan Taman Sri Hartamas menerusi satu inisiatif naik taraf taman berkenaan.

Daripada jumlah itu, sebanyak RM200,000 disumbangkan oleh Kementerian Kewangan manakala baki RM300,000 diperuntukkan DBKL.

DBKL dalam kenyataan memaklumkan, Taman Sri Hartamas yang berkeluasan kira-kira 3.6 ekar berpotensi diperkasakan sebagai ruang rekreasi komuniti yang lebih selesa, selamat, menarik dan inklusif.

Menurutnya, antara kerja naik taraf yang dirancang termasuk gelanggang sukan, penambahbaikan alatan rekreasi dan senaman, penyelenggaraan kemudahan awam, pembaikan infrastruktur serta aspek keselamatan.

“Penyediaan laluan pejalan kaki baharu turut diberi perhatian bagi meningkatkan aksesibiliti dan keselesaan pengunjung untuk aktiviti berjalan kaki, berjoging dan beriadah,” menurut kenyataan itu hari ini.

Selain itu, kerja menaik taraf landskap sedia ada turut dilaksanakan menerusi penambahbaikan susun atur tanaman dan elemen landskap bagi menjadikan taman berkenaan lebih menarik, kondusif serta mesra alam.

Pendekatan pembangunan itu turut mengambil kira keperluan pelbagai peringkat umur dan keupayaan fizikal, termasuk kanak-kanak, warga emas serta golongan orang kurang upaya (OKU).

DBKL turut merakamkan penghargaan kepada Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dan Kementerian Kewangan atas sokongan serta peruntukan RM200,000 bagi menjayakan inisiatif berkenaan.

DBKL turut menyeru penduduk setempat supaya bersama-sama menjaga dan memelihara kemudahan awam yang disediakan demi manfaat generasi kini dan akan datang. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN