PETALING JAYA – Ibarat ‘lautan’ sampah, itulah situasi pagi tadi yang berlaku di Dataran Merdeka selepas ribuan penyokong bola sepak meninggalkan sampah sarap mereka di kawasan tersebut selepas menonton aksi final Piala Dunia 2026.
Menerusi hantaran yang dikongsi di laman Facebook Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), kelihatan sampah memenuhi segenap kawasan Dataran Merdeka dan keadaan itu mencemarkan imej ibu kota.
“Sedih melihat keadaan Dataran Merdeka selepas aksi final Piala Dunia 2026 antara Sepanyol dan Argentina.
“Awal pagi tadi, ribuan orang berhimpun untuk bersorak, meraikan bola sepak dan berkongsi kegembiraan. Namun apabila sorakan berakhir, padang bersejarah ini ditinggalkan dalam keadaan dipenuhi sampah sarap,”kata hantaran itu.
DBKL berkata, pihaknya akan membersihkan sampah sarap itu dan petugasnya akan turun mengutip apa yang ditinggalkan.
Tetapi katanya, kebersihan Kuala Lumpur tidak seharusnya sentiasa bergantung pada orang lain yang datang membersihkan selepas kita pulang.
“Dataran Merdeka ialah lambang maruah dan sejarah negara. Cara kita meninggalkannya mencerminkan cara kita menghargainya.
“Kita boleh meraikan dengan meriah. Kita boleh bersorak sepuasnya tetapi kebebasan untuk bergembira tidak pernah bermaksud kebebasan untuk mengotorkan ruang milik bersama,”kataya.
Mengulas lanjut, DBKL berkata, kota yang hebat bukan hanya dinilai ketika orang ramai datang tetapi melalui keadaan yang mereka tinggalkan apabila pulang.
“Kuala Lumpur ialah rumah kita. Jagalah seperti kita menjaga rumah sendiri,” rayu DBKL.-KOSMO! ONLINE














