fbpx
KEBAJIKAN kru penerbitan bagai tidak terbela selepas dipaksa bekerja lebih masa tanpa bayaran setimpal. -GAMBAR JANAAN AI

Kena lenjan sampai 20 jam, apa nasib kru penerbitan?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

ARENA penerbitan tempatan masih dihambat isu lapuk iaitu bekerja melebihi 12 jam sehari tanpa bayaran tambahan membuatkan ada dalam kalangan pemain industri meluahkan rasa terkilan di Threads apabila kebajikan mereka bagai dipandang sebelah mata.

Waktu kerja melampau dalam industri kreatif Malaysia terus menjadi antara polemik belum menemui jalan penyelesaian menyeluruh meskipun ia sudah dibangkitkan bertahun-tahun.

Walaupun pelbagai cadangan dikemukakan persatuan serta Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), realitinya masih ada kru produksi dan pelakon yang terpaksa bekerja sehingga 20 jam sehari bagi menyiapkan penggambaran mengikut jadual.

Budaya ‘lenjan’ pekerja seni ini didakwa berpunca daripada beberapa faktor termasuk bajet produksi terhad, jadual penggambaran padat, kurang tenaga kerja serta desakan mengejar tarikh siaran di televisyen atau platform penstriman.

Akibatnya, kru seperti jurukamera, jurulampu, jurusolek, jurubunyi serta pembantu produksi menjadi golongan paling terkesan kerana perlu berada di lokasi lebih awal untuk persiapan dan pulang paling lewat usai kerja mengemas peralatan.

Pelakon pula bukan sahaja perlu bertahan secara fizikal, malah terpaksa mengekalkan emosi sepanjang penggambaran yang panjang, sekali gus meningkatkan risiko keletihan, kesilapan serta lebih teruk kemalangan di set.

Presiden Persatuan Seniman Malaysia, Zed Zaidi berkata, isu itu bukan perkara baharu kerana sudah berkali-kali dibangkitkan persatuan dan Finas, namun pelaksanaannya masih belum memberi kesan di peringkat produksi tanpa akta baharu digubal kerajaan.

“Seniman sudah lama membawa isu ini ketengah, bukan sekadar membangkitkan isu, tetapi turut mengemukakan kertas cadangan lengkap bagi menambah baik ekosistem industri kreatif.

“Paling penting pelaksanaan dan penguatkuasaan di peringkat kementerian berkaitan. Kita tahu untuk gubal akta memerlukan tempoh tetapi kami, persatuan mewakili penggiat seni akan terus bersama Finas membantu menyuarakan kebajikan pekerja.

“Memang industri seni ini pun cara bekerja unik kerana penggambaran boleh berlangsung sepanjang malam atau sepanjang siang, namun tetap kena ada akta agar penguatkuasaan dan tindakan dilakukan kepada pihak yang melanggar undang-undang,” katanya kepada Kosmo!.

Menurut beliau, antara cadangan utama dikemukakan sebelum ini mengehadkan tempoh bekerja kepada maksimum 12 jam sehari termasuk tempoh persiapan dan penggambaran, selain mewajibkan bayaran kerja lebih masa andai penggambaran diteruskan melebihi had dipersetujui.

Katanya, setiap kru dan pelakon juga perlu diberikan waktu rehat mencukupi sebelum menyambung penggambaran bagi mengelakkan keletihan melampau.

Selain itu, Zed berkata, produksi perlu menggunakan kontrak standard yang memperincikan waktu bekerja, kadar bayaran kerja lebih masa, caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), perlindungan insurans serta syarat kebajikan lain agar tiada lagi eksploitasi terhadap pekerja industri.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN