fbpx
Tertuduh didenda kerana menceroboh tanah kerajaan di Cameron Highlands.

Teroka tanah kerajaan, lelaki didenda RM80,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

RAUB – Tindakan seorang lelaki meneroka dan membersihkan tanah milik Kerajaan Negeri Pahang secara haram untuk tujuan pertanian di Pos Terisu, Cameron Highlands membawa padah apabila dia didenda RM80,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Tertuduh, Sathis Ratenom, 29, dijatuhi hukuman itu selepas mengaku bersalah atas pertuduhan membersihkan tanah kerajaan tanpa kebenaran sah pada awal tahun lalu.

Pengakuan bersalah itu dibuat di hadapan Hakim Noor Zaihan Mohamad Ali. Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjarakan selama lapan bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.

Dalam prosiding sama, sebuah jengkaut yang digunakan bagi menjalankan aktiviti pembersihan tanah tersebut turut dilucuthakkan kepada Kerajaan Negeri Pahang.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didapati membersihkan kawasan tanah kerajaan seluas kira-kira 0.101 hektar menggunakan sebuah jengkaut bagi tujuan pertanian tanpa memiliki sebarang permit atau kebenaran sah.

Kegiatan penerokaan tanah kerajaan di Cameron Highlands itu terbongkar ketika Pasukan Cameron Highlands Transformation Taskforce (TTF) bersama Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP) melakukan rondaan di Pos Terisu pada 14 Januari tahun lalu. 

Hasil siasatan lanjut mendapati kawasan yang diteroka dan dibersihkan itu merupakan tanah milik Kerajaan Negeri Pahang yang tidak pernah diluluskan bagi sebarang aktiviti pembangunan atau pertanian. Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 425(1)(b) Kanun Tanah Negara (Akta 828) kerana membersihkan tanah kerajaan tanpa kebenaran.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Muhammad Muqris Alif Zairiasdi bersama Taqiuddin Azizan dan Noor Shazana Ghani, manakala tertuduh tidak diwakili peguam. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN