fbpx
ADZLI menunjukkan dokumen berkaitan permohonan kad UNHCR disyaki mempunyai kaitan dengan sindiket pemalsuan permit kerja dan kad UNHCR palsu pada sidang akhbar di IPK Kedah, Alor Setar hari ini. - Foto oleh SHAHIR NOORDIN

Lelaki Bangladesh kahwini warga emas dalang permit kerja palsu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

ALOR SETAR – Seorang lelaki Bangladesh dicekup kerana disyaki menjadi dalang sindiket pemalsuan permit kerja warga asing dan kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) dalam serbuan di Kulim, dekat sini bulan lalu.

Suspek berusia lingkungan 40-an mengahwini wanita tempatan berusia 69 tahun yang kini berkerusi roda. Dia mengendalikan perniagaan kedai runcit dan syarikat pembinaan kelas G7 yang didaftarkan atas nama isterinya itu.

Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah berkata, suspek merupakan antara 24 individu yang ditahan dalam empat serbuan di kedai runcit, kedai komputer dan tempat tinggal di sekitar Kulim pada 27 Jun lalu.

Katanya, tangkapan melibatkan 19 lelaki Bangladesh, tiga lelaki dan seorang wanita etnik Rohingya serta seorang wanita tempatan berusia antara 20 hingga 52 tahun.

“Dalam serbuan itu, kita merampas sebanyak 36 pasport Myanmar dan empat pasport Bangladesh yang semuanya tulen, 10 telefon bimbit, empat komputer riba dan satu permit kerja palsu,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah di sini hari ini.

Menurutnya, siasatan mendapati lelaki Bangladesh yang mengahwini wanita tempatan berusia 69 tahun disyaki dalang utama sindiket.

“Suspek dipercayai menguruskan tiga syarikat melibatkan perniagaan kedai runcit dan sektor pembinaan G7. Kita percaya dia tubuhkan syarikat itu hanya sebagai alasan untuk membenarkan dia untuk memohon permit pekerja asing.

“Selain menguruskan permit sah, dia juga disyaki membuat permit kerja palsu dengan sindiket dipercayai mengenakan bayaran antara RM80 hingga RM250 bagi setiap dokumen,” ujarnya.

Selain itu, kata Adzli, pihaknya memburu seorang lagi lelaki Bangladesh berusia 33 tahun yang dipercayai terlibat dalam sindiket sama.

“Dia juga mengahwini wanita tempatan, juga berusia 33 tahun dan mempunyai empat kedai komputer di Sungai Petani, Kulim dan Butterworth, Pulau Pinang. Kita bertindak menahan reman isterinya selama tiga hari, namun telah dibebaskan dengan jaminan polis,” jelasnya.

Kata beliau, baki warga asing lain yang ditahan dalam serbuan tersebut dipercayai sedang menunggu untuk mendapatkan permit kerja palsu.

Tambahnya, hasil analisa forensik yang dilakukan ke atas empat komputer riba yang dirampas mendapati terdapat dokumen berkaitan permohonan kad UNHCR, templat kosong yang belum ditandatangani selain perisian reka bentuk grafik untuk menyunting dokumen.

“Selain itu, terdapat juga individu sama yang menggunakan identiti berbeza pada pasport dan kad UNHCR,” katanya sambil memberitahu semua suspek direman sehingga 21 Julai ini di bawah Akta Imigresen 1959/63,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN