fbpx
Mohammad Aizat (kanan) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Ipoh atas pertuduhan memasukkan dadah ke dalam badan pada April lalu.

Lans koperal tidak mengaku ambil dadah di pusat karaoke

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

IPOH – Seorang anggota polis berpangkat lans koperal mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan memasukkan dadah ke dalam badan di sebuah pusat karaoke pada April lalu.

Tertuduh, Mohammad Aizat Zamli, 26, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret S. Punitha.

Mohammad Aizat yang masih bujang didakwa memasukkan ketamin dan MDMA ke dalam badan di bilik VIP 1, Aras 2, Grand OC Sdn. Bhd., Wisma Wolley, Taman Ipoh pada pukul 5.04 pagi, 5 April lalu.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih dua tahun atau denda maksimum RM5,000, jika sabit kesalahan.

Kes turut dibaca bersama Seksyen 38B(1) akta sama yang mana tertuduh boleh diletakkan di bawah pengawasan selama dua hingga tiga tahun selepas menjalani hukuman.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Zulqarnain Wan Asmira, manakala anggota Balai Polis Segamat, Johor itu diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Nur Nadzrah Badarudin.

Terdahulu, Muhammad Zulqarnain mencadangkan jaminan RM4,000 terhadap tertuduh namun Nur Nadzrah merayu jumlah minimum dengan alasan anak guamnya menanggung bapa yang sudah berusia dengan  pendapatan RM3,000 sebulan.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 26 Ogos ini untuk sebutan semula kes. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN