KUALA TERENGGANU – Gara-gara mempamerkan produk tembakau di premis yang bukan kedai khas, seorang peniaga didenda RM7,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini.
Hakim Mohd. Zul Zakiqudin Zulkifli, menjatuhkan hukuman itu setelah Orang Kena Saman (OKS), Muhammad Harfaizul Ismail, membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan selesao dibacakan.
Berdasarkan pertuduhan, Muhammad Harfaizul didakwa mempamerkan produk tembakau di Kedai Kotak Kampung Getang, Kuala Telemong pada pukul 12.30 tengah hari, 3 Oktober 2025.
OKS didakwa mengikut Seksyen 10(1) Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM20,000 atau hukuman penjara sehingga setahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Kesihatan, Alias Awang Kechik manakala Muhammad Harfaizul pula tidak diwakili peguam. – KOSMO! ONLINE















