KUALA LUMPUR – Rang Undang-Undang (RUU) Akta Kawalan Padi dan Beras (Pindaan) 2026 yang memperuntukkan hukuman lebih berat terhadap pesalah selain memperluas kuasa penetapan harga padi dan beras dibentangkan untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat hari ini.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, bacaan kali kedua dan ketiga RUU berkenaan akan dibuat pada persidangan Dewan Rakyat kali ini.
Menurut naskhah biru yang disiarkan di portal rasmi Parlimen, pindaan melibatkan lima fasal utama ke atas Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 (Akta 522).
Antara pindaan utama ialah peningkatan kadar penalti bagi kesalahan yang tidak diperuntukkan hukuman khusus di bawah akta berkenaan.
Bagi individu, termasuk pengarah atau pegawai sesebuah syarikat, denda maksimum dicadangkan dinaikkan daripada RM15,000 kepada RM250,000, manakala bagi kesalahan berulang meningkat daripada RM25,000 kepada RM500,000.
Bagi pertubuhan perbadanan pula, denda maksimum dicadangkan dinaikkan daripada RM25,000 kepada RM500,000, manakala bagi kesalahan kedua atau berikutnya sehingga RM1 juta.
RUU itu turut mencadangkan pindaan kepada Seksyen 4 bagi memberi kuasa kepada Ketua Pengarah, tertakluk kepada kelulusan menteri, untuk menguatkuasakan harga maksimum atau minimum bagi padi atau beras.
Selain itu, Seksyen 29 dipinda bagi memberi kuasa kepada menteri menggubal peraturan berkaitan pelesenan pembeli padi, penetapan gred beras, kawalan harga beras bergred serta pengawalseliaan pemindahan padi atau beras.
Peraturan yang digubal di bawah Akta 522 juga boleh menetapkan sesuatu pelanggaran sebagai kesalahan dengan hukuman denda sehingga RM15,000 atau penjara maksimum enam bulan, atau kedua-duanya sekali.
RUU itu turut memperuntukkan bahawa sebarang siasatan atau prosiding yang telah dimulakan sebelum tarikh kuat kuasa pindaan akan diteruskan mengikut peruntukan akta asal.-KOSMO! ONLINE














