fbpx
Saarani (tiga dari kiri) ketika hadir ke Program Santuni Rakyat, Memperkasa Urusan Tanah di Dewan Bandaran Majlis Perbandaran Teluk Intan hari ini.

50 tahun isu geran tanah kongsi Kampung Bahagia selesai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BAGAN DATUK – Isu geran kongsi di Kampung Bahagia, Teluk Intan yang berlarutan lebih 50 tahun akhirnya selesai apabila 297 pemilik tanah menerima Surat Rawatan Notis 5A hari ini.

Penyerahan surat tersebut berlangsung pada Program Santuni Rakyat, Memperkasa Urusan Tanah di Dewan Bandaran Majlis Perbandaran Teluk Intan yang disempurnakan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.

Pengarah Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Perak, Datuk Mohamad Fariz Mohamad Hanip berkata, isu berkenaan berlarutan sehingga 50 tahun ekoran beberapa faktor.

Antaranya, beliau berkata, adalah lokasi penama yang tidak dapat dikesan, penama telah meninggal dunia dengan urusan berkaitan tanah tidak diselesaikan serta nama pemilik tanah bertindih antara satu sama lain.

“Bagaimanapun, kita beriltizam untuk menyelesaikan isu tersebut dan setelah diteliti setiap kes, ada jalannya. Alhamdulillah, dengan kerjasama padu PTG Hilir Perak dan jawatankuasa khas dilantik peserta isu ini dapat diselesaikan,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Sementara itu, Saarani berkata, bagi mereka yang telah bertahun-tahun menunggu, penyerahan hari ini menjadi titik permulaan kepada pelbagai impian yang akhirnya dapat direalisasikan.

“Ada yang kini boleh membina rumah untuk anak-anak, selesaikan urusan pusaka yang tertangguh dan dapat mengurus tanah keluarga dengan lebih teratur.

“Syukur Alhamdulillah. Apapun, manfaatkanlah tanah ini dengan sebaiknya. Semoga ia dapat menjadi sumber rezeki yang berpanjangan dan legasi yang dapat diwariskan kepada generasi seterusnya,” katanya.

Sementara itu, pada program sama, beliau turut menyempurnakan penyerahan Notis 5A kepada 40 penerima bagi pemberimilikan tanah di Rancangan Perkampungan Tersusun Batu 14 serta geran hak milik tanah kepada 19 penerima di Tanjung Keramat.

Dalam pada itu, Saarani berkata, Program Mesra Hari Bertemu Pelanggan Kerajaan Negeri Perak Siri Kelima Tahun 2026 yang berlangsung di Dewan Dato’ Lope Hashim di sini menyaksikan pihaknya menerima sebanyak 153 aduan.

“Manakala sehingga Siri Keempat, sebanyak 862 aduan telah direkodkan dengan 722 aduan atau 84 peratus berjaya diselesaikan dan baki 140 aduan atau 16 peratus masih dalam tindakan susulan jabatan serta agensi berkaitan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN