fbpx
Jais.

Sasaran tangkap penagih setiap hari bukan ukuran kejayaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Sasaran menangkap sekurang-kurangnya seorang penagih dadah setiap hari tidak wajar dijadikan ukuran utama kejayaan penguatkuasaan kerana berisiko mewujudkan budaya mengejar angka berbanding keberkesanan membanteras jenayah.

Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim berkata, walaupun menghargai usaha Polis Kelantan memerangi dadah secara agresif, pendekatan mewajibkan setiap ketua balai memastikan sekurang-kurangnya seorang penagih ditahan setiap hari perlu dinilai semula kerana jumlah tangkapan bukan ukuran sebenar kejayaan.

Menurutnya, jika usaha pencegahan berkesan sehingga jumlah penagih semakin berkurangan, anggota polis akan berdepan kesukaran memenuhi sasaran, sekali gus berisiko mewujudkan tekanan untuk mengejar petunjuk prestasi utama (KPI).

“MCW tidak mengatakan anggota polis akan memanipulasi tangkapan, namun sistem KPI yang terlalu berorientasikan kuantiti boleh mendorong amalan mengejar kes mudah serta mengabaikan kerja risikan jangka panjang.

“Tekanan sasaran tanpa mekanisme integriti dan audit yang kukuh juga boleh membuka ruang kepada penyalahgunaan kuasa oleh segelintir individu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, KPI yang lebih bermakna perlu menilai pengurangan jenayah berulang, kejayaan memutuskan rangkaian bekalan, penangkapan pengedar utama, pelucuthakan aset hasil jenayah, keberkesanan risikan, integriti siasatan serta keselamatan komuniti. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN