MELAKA – Tular satu rakaman video memaparkan beberapa warga asing dipercayai menjalankan aktiviti menjual dan memproses daging lembu di dalam sebuah premis menjual karpet dan barangan serbaneka di Jalan Plaza Melaka Sentral 1 di sini.
Video berdurasi 25 saat itu memaparkan seorang daripada mereka sedang mencincang tulang lembu, manakala dua lagi membantu membungkus serta menimbang daging untuk dijual.
Datuk Bandar Melaka Bersejarah (MBMB), Datuk Shadan Othman ketika dihubungi bagaimanapun berkata, klip tersebut merupakan rakaman lama yang kembali ditularkan di media sosial.
Jelasnya, hasil semakan, setakat ini tiada isu berkaitan aktiviti pemotongan atau penjualan daging seperti yang ditularkan.
“Setakat ini tiada isu pemotongan daging seperti yang tular di media sosial, paparan video itu adalah rakaman lama yang dimainkan semula dan dipercayai berlaku kira-kira dua tahun lalu.
“MBMB sentiasa menjalankan pemantauan berkala di lokasi berkenaan bagi memastikan semua premis mematuhi peraturan yang ditetapkan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.-KOSMO! ONLINE















