fbpx

Ada syarikat tandatangan MoU dengan China tiada ‘track record’ – Johari Ghani

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Johari.

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani mendakwa terdapat beberapa syarikat Malaysia yang menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bersama syarikat China ketika lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke negara itu sebelum ini yang disifatkan beliau tidak mempunyai rekod pencapaian yang mencukupi.

Bekas Menteri Kewangan II itu meminta Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) atau Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) memperjelaskan sama ada proses tapisan dilakukan terlebih dahulu terhadap semua syarikat yang terbabit dalam MoU dengan nilai keseluruhan RM170 bilion tersebut.

“Sebelum ini, Perdana Menteri ada membuat lawatan ke China dengan menyaksikan 19 MoU yang ditandatangani oleh syarikat-syarikat tempatan dan juga syarikat China yang berjumlah dijangka RM170 bilion, soalan saya adakah MITI atau MIDA telah melakukan tapisan syarikat-syarikat ini sebelum membawa Perdana Menteri untuk menyaksikan menandatangani MoU tersebut.

“Ini kerana saya nampak daripada 19 MoU, ada beberapa syarikat yang saya nampak tidak mempunyai ‘track record’ (rekod pencapaian) untuk kita persembahkan kepada sebuah negara seperti China yang merupakan negara ekonomi kedua terbesar di dunia,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Johari pada masa sama turut meminta penjelasan daripada MITI mengenai langkah yang akan diambil untuk memastikan komitmen pelaburan dianggarkan berjumlah RM170 bilion itu dapat memberikan manfaat kepada rakyat, termasuk peluang pekerjaan.

“Saya tahu kalau ikut statistik, mana-mana pelaburan langsung asing (FDI) yang dibawa, kita boleh realisasikan sekitar 70 peratus dan ia boleh membantu peluang pekerjaan yang sangat banyak kepada negara,” katanya.

Menjawab soalan tersebut, Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan Dan Industri, Liew Chin Tong memberitahu Dewan Rakyat bahawa MoU yang ditandatangani akan dipantau oleh jawatankuasa secara khusus.

“MIDA juga telah melakukan proses biasa dalam menilai MoU-MoU tersebut.Untuk masa depan sebenarnya, kerajaan dipandu oleh dasar pelaburan baharu atau national investment policy melibatkan lima kriteria.

“Kriteria tersebut ialah kita menerima pelabur asing atau apa-apa pelaburan, ialah untuk meningkatkan kemampanan ekonomi bagi menjana pekerjaan bernilai tinggi atau berpendapatan tinggi.

“Selain itu, memperluaskan rangkaian domestik dan mewujudkan kluster ekonomi baharu dan meningkatkan keterangkuman. Ini adalah ‘dashboard’ kita untuk memantau apa yang kita terima,” jawabnya. -KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI