KLANG – Tindakan seorang lelaki dipercayai kurang siuman berjalan di atas bumbung sebuah rumah teres dalam keadaan bogel menggemparkan penduduk di Taman Sri Andalas di sini, pagi tadi.
Aksi lelaki berusia lingkungan 30-an itu turut tular di media sosial sebelum pasukan bomba dipanggil bagi membantu menyelamatkan individu terbabit yang berada di atas bumbung rumah pengadu.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ashrul Riezal Asbar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 6.53 pagi daripada tuan rumah tersebut.
Menurutnya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Andalas tiba di lokasi kira-kira pukul 7 pagi untuk tindakan selanjutnya.
“Pasukan bomba membuat pemeriksaan awal dan mendapati seorang lelaki berusia lingkungan 30-an yang dipercayai kurang siuman berada di atas bumbung rumah pengadu.
“Anggota kemudian mengambil pendekatan memujuk lelaki terbabit sebelum dia berjaya diturunkan dengan selamat,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Ashrul Riezal berkata, lelaki itu kemudiannya diserahkan kepada pihak polis dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk tindakan lanjut.
Operasi kemudiannya ditamatkan pukul 8.05 pagi.
Terdahulu, tular di hantaran aplikasi Threads dengan menyatakan tindakan lelaki tersebut berkait dengan kes pecah rumah. – KOSMO! ONLINE














