GUA MUSANG – Seorang lelaki dikhuatiri lemas selepas bot yang dinaikinya ditemui dalam keadaan terbalik di Sungai Galas dekat Kampung Batu 6 di sini hari ini.
Mangsa yang dikenali sebagai Mohd. Ilham Che Mat Satar, 27, dipercayai hilang selepas gagal dihubungi sebelum bot yang dinaikinya ditemui dalam keadaan terbalik di sungai berkenaan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang, Muhammad Azrul Izzham Zulkifli berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 2.16 petang sebelum sepasukan anggota bomba tiba di lokasi kejadian pada pukul 3.05 petang.
“Setibanya di lokasi, pihak bomba dimaklumkan terdapat seorang lelaki tidak dapat dihubungi. Aktiviti terakhir mangsa dipercayai menaiki bot sebelum bot itu ditemui terbalik dan mangsa hilang di Sungai Galas.
“Lokasi kejadian terletak kira-kira 15 kilometer dari balai bomba Gua Musang dan operasi mencari segera dilancarkan menggunakan kaedah pencarian di permukaan air,” katanya ketika dihubungi pemberita hari ini.
Muhammad Azrul Izzham memberitahu, operasi diteruskan dengan bantuan Pasukan Penyelamat Di Air dan Unit Anjing Pengesan.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan operasi mencari mangsa masih diteruskan. – KOSMO! ONLINE














