fbpx
Marhayani ketika ditemu bual Kosmo! mengenai cabaran dadah sintetik di Ibu Pejabat Jabatan Kimia Malaysia di Petaling Jaya baru-baru ini. – MUHAMAD IQBAL ROSLI

Dalam makanan, minuman pun ada dadah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Kaedah analisis khusus perlu dibangunkan bagi memastikan setiap bahan dapat dikenal pasti secara tepat susulan kemunculan dadah sintetik dan bahan psikoaktif baharu yang semakin kompleks.

Kekangan dari segi tenaga kerja dan ruang turut menjadi antara cabaran Jabatan Kimia Malaysia (Kimia) sehingga menyumbang kepada peningkatan tunggakan kes narkotik di seluruh negara iaitu 7,176 kes, setakat bulan lalu.

Ketua Pengarah Kimia, Marhayani Md. Saad berkata, cabaran itu semakin ketara apabila dadah baharu kini boleh ditemui dalam pelbagai bentuk termasuk cecair vape, makanan dan minuman.

“Antara bahan yang mendapat perhatian ialah fentanyl yang turut dibangkitkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Kemunculan bahan ini lebih mencabar berbanding dadah konvensional seperti heroin, ganja dan methamphetamine kerana kesan serta tahap bahaya mungkin belum diketahui sepenuhnya.

“Apabila menerima bahan baharu, kita perlu mencari dan membangunkan kaedah untuk menganalisis. Kita tidak boleh sekadar ambil kaedah daripada jurnal dan gunakan kerana terdapat prosedur dan sistem kualiti yang perlu dipatuhi,” katanya dalam temu bual khas bersama Kosmo! Baru-baru ini.

Menurut Marhayani, kaedah itu perlu disahkan terlebih dahulu bagi memastikan ia benar-benar boleh mengesan bahan tersebut, lebih-lebih lagi apabila keputusan akan digunakan di mahkamah bagi perbicaraan.

Beliau berkata, proses mengesahkan bahan baharu turut memerlukan bahan rujukan tulen sebagai perbandingan.

Katanya, cabaran yang dihadapi adalah bahan rujukan bagi sesetengah dadah baharu belum tersedia dan perlu diimport, sekali gus menyebabkan proses pembangunan dan pengesahan kaedah mengambil masa.

“Kadang-kadang bahan kimia itu hanya berbeza satu elemen dan boleh memberi bacaan yang hampir sama bergantung kepada peralatan yang digunakan.

“Jadi, kita tidak boleh menggunakan satu alat untuk mengesahkan bahan tersebut. Kita perlu membandingkannya dengan bahan tulen sebelum membuat pengesahan mengenai jenis dadah yang dikesan,” katanya.

Tambah beliau, kerumitan analisis turut bergantung kepada medium atau matriks yang mengandungi dadah berkenaan kerana setiap bentuk sampel memerlukan kaedah pengekstrakan berbeza.

Sebagai contoh, kaedah mengekstrak dadah daripada air tidak sama dengan sampel dalam vape, coklat, makanan berminyak atau minuman kerana terdapat bahan lain yang perlu dipisahkan terlebih dahulu.

“Dadah baharu semakin lama semakin bertambah. Maklumat juga mudah diperoleh menerusi internet termasuk cara menghasilkan sesuatu bahan, jadi cabaran untuk mengenal pasti bahan psikoaktif baharu turut meningkat.

“Setiap kali barang kes sampai misalnya dadah yang beratnya bertan-tan, kami tidak boleh ambil sedikit (kuantiti) dan lakukan analisis lalu merumuskan kesemuanya adalah bahan yang sama.

“Kami perlu periksa keseluruhan sampel dadah itu, menjalankan analisis dan mengeluarkan laporan untuk tujuan pendakwaan di mahkamah,” katanya.

Marhayani berkata, laporan kimia menjadi asas penting dalam membezakan kes pemilikan dan pengedaran dadah, sebelum pihak berkuasa menentukan peruntukan undang-undang dan pertuduhan yang bersesuaian.

“Bagi kes narkotik, PDRM akan menangkap orang yang disyaki (ODS) dan direman. Bahan akan dihantar ke Jabatan Kimia untuk tujuan analisis bagi mengenal pasti jenis dan berat dadah itu.

“Berdasarkan laporan Kimia itu, barulah individu yang ditahan boleh dituduh mengikut seksyen dan akta berkaitan.

“Semua ini memerlukan laporan kimia. Selagi laporan tidak dikeluarkan, ODS akan ditahan reman, kadang-kadang bertahun jika melibatkan rampasan dalam kuantiti yang sangat besar,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN