fbpx
NORAZIMAH (tengah) bersama para pelajar UiTM Segamat yang menyertai Program TikTokpreneur Innovation Lab Digitalization Innovation 2026 selepas berjaya mencatatkan jualan terkumpul sebanyak RM31,768.58. – Foto HAUS

Kumpul RM31,768.58, Haus, UiTM Segamat perkasa keusahawanan siswa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

HAUS International Sdn. Bhd. terus memperkukuh komitmennya dalam menyokong pembangunan akademik dan melahirkan graduan holistik menerusi kerjasama strategik bersama Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Johor, Kampus Segamat.

Kolaborasi bersama Fakulti Pengurusan dan Perniagaan itu dilaksanakan dengan sokongan Pensyarah Kanan UiTM Cawangan Johor, Kampus Segamat, Dr. Jannah Munirah Mohd. Noor serta Rektor UiTM Cawangan Johor, Prof. Madya Dr. Saunah Zainon.

Pengasas dan Pengarah Urusan Haus International Sdn. Bhd., Norazimah Abd. Jalil berkata, penglibatan aktif industri dalam sektor pendidikan amat penting bagi memastikan mahasiswa bukan sahaja menguasai teori tetapi turut memperoleh pengalaman praktikal sebelum menamatkan pengajian.

“Haus percaya bahawa institusi pendidikan memainkan peranan besar dalam melahirkan generasi usahawan yang berilmu, berkemahiran dan mempunyai pengalaman sebenar dalam industri.

“Kami mahu mahasiswa bukan sekadar menamatkan pengajian dengan segulung ijazah tetapi turut memiliki keyakinan, kemahiran komunikasi, pengalaman mengendalikan pelanggan dan kebolehan membuat keputusan dalam situasi perniagaan sebenar.

“Apabila mereka bergraduasi kelak, mereka sudah mempunyai asas yang kukuh untuk memasuki alam pekerjaan atau membina perniagaan sendiri,” katanya kepada K-Kampus.

NORAZIMAH (kiri) bersama Jannah ketika Majlis Penutupan Program TikTokpreneur Innovation Lab Digitalization Innovation 2026 di UiTM Segamat baru-baru ini.

Jelas Norazimah, kolaborasi pertama antara Haus dan UiTM Segamat dilaksanakan menerusi program TikTokpreneur Innovation Lab Digitalization Innovation 2026, melibatkan mahasiswa yang mengikuti kursus ENT300 dan ENT530.

Program yang berlangsung selama empat minggu dari April hingga Mei 2026 itu memberi peluang kepada mahasiswa menjalani latihan keusahawanan digital secara langsung menggunakan produk dan platform TikTok yang disediakan Haus.

“Sepanjang program, mahasiswa dilatih untuk mengendalikan sesi siaran langsung, memahami pengetahuan produk, menghasilkan kandungan jualan, berkomunikasi dengan pelanggan serta menggunakan teknik penutupan jualan yang terbukti berkesan.

“Mereka turut diberi pendedahan mengenai cara mengenal pasti keperluan pelanggan, menjawab pertanyaan, menangani bantahan pembelian, membina keyakinan pengguna serta menukar interaksi dalam talian kepada jualan sebenar.

“Hasil daripada penjualan produk Haus Cosmetics di platform TikTok secara live, mahasiswa yang terlibat berjaya mencatatkan jumlah jualan keseluruhan sebanyak RM31,768.58 dengan jumlah masa siaran langsung terkumpul mencecah 411 jam,” katanya.

Tambahnya, pencapaian itu membuktikan bahawa mahasiswa mampu menghasilkan prestasi jualan yang baik apabila diberikan bimbingan, sistem, latihan dan ruang untuk mempraktikkan ilmu yang dipelajari.

Selain mempelajari teknik jualan, program tersebut turut membantu mahasiswa meningkatkan keyakinan diri, kemahiran pengucapan awam, kreativiti penghasilan kandungan, disiplin pengurusan masa dan kebolehan bekerja dalam kumpulan.

Menurut Norazimah, pengalaman tersebut sukar diperoleh menerusi pembelajaran di dalam kelas semata-mata.

Sementara itu, kolaborasi kedua pula melibatkan pembangunan produk pelembap bibir berasaskan madu kelulut yang diperoleh daripada projek ternakan kelulut di UiTM Segamat.

Madu tersebut dihasilkan oleh pasukan Laksamana Nektar diketuai oleh Dr. Fahmi dari UiTM Segamat menerusi ladang ternakan madu kelulut yang diusahakan di dalam kawasan kampus.

Kerjasama itu menggabungkan kepakaran akademik dan sumber semula jadi universiti dengan pengalaman Haus dalam pembangunan jenama, formulasi produk serta pemasaran kosmetik.

Produk berkenaan akan dikilangkan di kilang kosmetik halal GIM Cosmetic Industries Sdn. Bhd. di Cheras, Kuala Lumpur sebelum dipasarkan di bawah jenama Haus Cosmetics.

“Madu kelulut dipilih sebagai salah satu bahan utama kerana sifatnya yang mampu membantu mengekalkan kelembapan serta memberikan rasa lebih lembut dan selesa pada permukaan bibir.

“Sebatian fenolik dan antioksidan yang terdapat dalam madu kelulut pula berpotensi membantu melindungi permukaan bibir daripada kesan kekeringan serta tekanan persekitaran,” katanya.

Penggunaan madu kelulut tempatan juga memberikan nilai tambah dari sudut kebolehkesanan sumber, kelestarian, pengkomersialan hasil universiti dan sokongan kepada pembangunan industri berasaskan sumber tempatan.

Produk pelembap bibir tersebut dirumus tanpa pewarna dan tanpa pewangi dengan menggunakan bahan-bahan yang dipilih berdasarkan keperluan halal.

Norazimah berkata, produk tersebut bukan sekadar hasil inovasi kosmetik, malah menjadi contoh bagaimana hasil penyelidikan, pertanian dan kepakaran universiti boleh dibangunkan sehingga mempunyai nilai komersial.

“Kolaborasi ini memperlihatkan keseluruhan rantaian pembangunan produk, bermula daripada ternakan kelulut di universiti, penghasilan bahan mentah, penyelidikan, formulasi, pengilangan sehinggalah kepada penjenamaan dan pemasaran.

“Mahasiswa dapat melihat sendiri bagaimana satu sumber semula jadi boleh diterjemahkan menjadi produk pengguna yang mempunyai nilai pasaran,” katanya.

Tambah Norazimah, hubungan industri dan universiti tidak seharusnya terbatas kepada program ceramah, lawatan atau latihan industri sahaja, sebaliknya perlu dikembangkan kepada projek yang mempunyai hasil dan impak yang boleh diukur.

“Apabila akademik dan industri bergerak bersama, kita bukan sahaja dapat melahirkan graduan yang lebih bersedia, malah mampu menghasilkan inovasi tempatan yang berpotensi dikembangkan ke pasaran lebih luas,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN