SAUDARA PENGARANG,
Ramai teruja apabila harga durian musang king gred C di Malaysia jatuh sehingga RM8 sekilogram. Memang jauh lebih murah berbanding 10 tahun lalu.
Namun, bagi pencinta durian yang pernah merasai pengalaman makan durian di Betong, Thailand, harga RM8 sekilogram itu sebenarnya belum cukup murah.
Di Betong, durian premium boleh didapati pada harga serendah kira-kira RM3 sekilogram, malah rasanya lebih sedap, isinya lebih tebal dan pilihan varietinya juga banyak.
Sebab itulah tidak hairan apabila semakin ramai rakyat Malaysia sanggup memandu berjam-jam dan menyeberangi sempadan semata-mata untuk menikmati durian di Betong.
Bukan sekadar kerana harganya jauh lebih rendah, tetapi mereka merasakan nilai yang diperoleh lebih berbaloi.
Manakan tidak, dengan hanya RM77, seramai 14 orang dapat menikmati pelbagai jenis durian.
Antara sebab durian di sana murah disebabkan pengeluaran yang terlalu banyak. Mungkin beberapa tahun lagi, durian di Malaysia pun akan berlambak, sekali gus harganya akan seperti di Betong, Thailand.
WAHAB
Selangor














