fbpx
Gambar hiasan

Ahli perniagaan didakwa jadi ahli Geng TR

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA SELANGOR – Seorang ahli perniagaan didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan menjadi ahli kumpulan jenayah terancang, Geng TR selama lima tahun bermula 2019.

Tertuduh, R. Ravindran, 46, mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Nurul Mardhiah Mohammed Redza.

Namun, tiada pengakuan direkodkan kerana kesalahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) itu berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, Ravindran didakwa menjadi ahli Geng TR di sebuah restoran makanan laut di Jeram di sini antara November 2019 hingga 3 Mei 2024.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 130V (1) Kanun Keseksaan (Akta 574) yang memperuntukkan hukuman penjara antara lima hingga 20 tahun, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Lina Hanini Ismail mengemukakan izin pendakwaan untuk memindahkan kes itu ke Mahkamah Tinggi selain tiada jaminan ditawarkan selaras Akta 747 SOSMA.

Pada prosiding itu, tertuduh diwakili Peguam Sean Dudley.

Mahkamah kemudian memerintahkan kes itu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Klang dan tarikh sebutan akan dimaklumkan kelak.

Difahamkan, kes berkenaan akan didengar di mahkamah tersebut bersama 54 lagi individu yang terkait dengan geng sama.

Kosmo! semalam melaporkan lelaki tempatan itu diberkas menerusi operasi khas, Op Lima semalam hasil kerjasama pihak berkuasa India dan Thailand.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk M. Kumar dalam kenyataannya memaklumkan, suspek ditahan ketika dalam penerbangan dari Chennai, India menuju ke Bangkok sebelum dibawa pulang ke Malaysia untuk tindakan lanjut.

Suspek sebelum ini dikehendaki polis dan mempunyai waran tangkap yang dikeluarkan Mahkamah Majistret Kuala Selangor pada 17 April lalu.

“Lelaki itu juga tersenarai dalam Notis Merah Interpol yang dikeluarkan pada 7 Mei lalu.

“Siasatan mendapati suspek mempunyai rekod lampau membabitkan beberapa kes jenayah berat termasuk bunuh, rompakan berkumpulan bersenjata dan mendatangkan kecederaan menggunakan senjata,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN