SABAK BERNAM – Kawasan sawah padi di Jalan Tali Air 4, Sekinchan di sini, digemparkan dengan fenomena puting beliung hari ini.
Kejadian tular kira-kira 11.40 pagi itu bagaimanapun hanya berlaku beberapa minit dan tidak melibatkan kemalangan jiwa.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sekinchan, Datuk Ng Sue Lim berkata, maklumat awal mendapati fenomena itu berlaku di tengah bendang sawah termasuk berdekatan Terminal Sekinchan.
“Namun, kita bersyukur tiada berlaku apa-apa kerosakan kediaman dan kecederaan kepada penduduk sekitar.
“Kejadian itu sekadar satu fenomena yang unik dan luar biasa di kawasan tersebut,” katanya yang juga Exco Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Selangor.
Terdahulu, tular beberapa video di media sosial memaparkan kejadian puting beliung di tengah kawasan sawah padi berkenaan.
Lokasinya termasuk di sekitar terminal Sekinchan itu bagaimanapun agak jauh dengan orang awam dan lingkaran angin hilang tidak lama kemudian. – KOSMO! ONLINE















