PETALING JAYA – Penganjuran Majlis Konvokesyen Universiti Kuala Lumpur (UniKL) yang berkonsepkan hiburan ala konsert terus menjadi perbualan dalam kalangan pengguna media sosial apabila terdapat pelajar yang tampil mempertahankan perkara tersebut.
Menerusi perkongsian pengguna Threads, @lempengsambalhijau, dia berpendapat penganjuran majlis berkenaan tidak sepatutnya dipersoalkan kerana graduan telah membayar kos konvokesyen yang tinggi.
Menurutnya, bayaran tersebut bukan sekadar untuk menerima sijil, sebaliknya graduan juga berhak menikmati pengalaman meraikan kejayaan mereka dengan suasana yang lebih meriah.
“Bayar konvo mahal, takkan nak dengar gamelan sahaja,” tulisnya.
Perkongsian itu mendapat pelbagai reaksi pengguna Threads yang turut berkongsi pendapat masing-masing mengenai penganjuran majlis konvokesyen tersebut.
“Kan. Benda ni simple (mudah) sahaja, kalau nak rasa konsert begini masuk universiti swasta. Kalau tidak mampu dan hanya mampu masuk IPTA (Institusi Pengajian Tinggi Awam), ikut sahaja apa yang universiti IPTA sudah tetapkan,” komen @theamreelzulfiqar.
“Sekali lagi, ini majlis konvokesyen, bukannya majlis istiadat konvokesyen. Jadi, tidak perlulah membangkitkan isu adat dan protokol. Benda macam ini pun nak jadi isu ke?” komen yang lain.
Seorang lagi pengguna @mintnstyyy pula menyifatkan graduan sepatutnya mendapat lebih daripada sekadar sijil selepas mengeluarkan belanja untuk menghadiri majlis berkenaan.
“Itulah pasal, bayar mahal-mahal takkan nak ambil sijil sahaja. Baik duduk rumah kalau macam itu,” katanya.
Dalam pada itu, pengguna @mumafarris yang berharap Pengerusi Majlis Amanah Rakyat, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki dapat mempertimbangkan semula teguran tersebut kerana berpendapat konsep berkenaan merupakan salah satu cara menghargai graduan.
“Saya harap Datuk mempertimbangkan semula isu konvokesyen seperti konsert kerana bagi saya mungkin ini merupakan salah satu cara menghargai graduan. Minta maaf atas cara komen saya yang kurang sopan ini,” tulisnya.
“Alhamdulillah, jadi manusia lagi walaupun konvokesyen tahun lepas dengar konsert Datin Aliyah. Kepada yang kecam itu, berhenti sahajalah, tak payahlah nak berperangai begitu,” kata @thenajwaasuhaimy.
“Geng-geng dinosaur merentan sebab zaman mereka tiada artis, yang ada cuma caklempong,” tulis @pumprosak pula.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan Asyraf Wajdi menegur penganjuran majlis konvokesyen UniKL yang berkonsepkan hiburan ala konsert kerana dianggap tidak wajar dan tidak beradab. – KOSMO! ONLINE
View on Threads














