Tengku Permaisuri Norashikin (tengah) menyempurnakan pelepasan peserta International Songket Run 6.0 di MSU, Shah Alam hari ini.

10,022 peserta sertai International Songket Run 6.0

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SHAH ALAM – Seramai 10,022 peserta menyertai International Songket Run 6.0 (ISR 6.0) anjuran Management and Science University (MSU) menerusi Jabatan Pembangunan Pelajar dan Kerjaya (SCD) di sini hari ini.

Majlis pelepasan larian disempurnakan oleh Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin selaku penaung program berkenaan.

Turut hadir Presiden dan Pengasas MSU, Profesor Tan Sri Dr. Mohd. Shukri Ab. Yajid; Naib Canselor MSU, Profesor Datuk Dr. Junainah Abd. Hamid serta Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Datuk Azmir Saifuddin Mutalib.

Penganjuran edisi keenam itu menawarkan larian santai sejauh lima kilometer (km), larian kompetitif 10km dan Songcat Run yang meliputi sekitar Seksyen 13 dengan kampus MSU sebagai lokasi pelepasan dan penamat.

Pelepasan serentak turut diadakan di kampus Kolej MSU di Johor Bahru, Kota Bharu, Pulau Pinang, Sarawak, Sabah dan Kuala Terengganu.

Antara kategori dipertandingkan ialah lelaki dan wanita terbuka serta veteran, selain kategori khas membabitkan peserta termuda, peserta paling senior dan kumpulan peserta terbesar.

Turut dipertandingkan ialah pemakaian songket paling kreatif, hantaran media sosial paling menarik bagi individu dan berkumpulan serta kumpulan paling kreatif dalam pemakaian songket.

Selain aktiviti larian, Finas selaku rakan strategik turut menganjurkan bengkel kreatif dan menyediakan reruai bertemakan ‘Fabrik Songket Melayu dalam Filem’ yang mengetengahkan penggunaan songket sebagai kostum filem.

Inisiatif itu turut melibatkan konsultan fesyen dan pereka kostum filem serta teater, Akma Suriati Awang.

Program berkenaan turut mendapat kerjasama Jabatan Warisan Negara, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor (PADAT).

ISR mula dianjurkan pada 2018 sebelum diteruskan pada 2019, 2023, 2024 dan 2025 dengan jumlah penyertaan kira-kira 38,000 peserta.

Penganjuran itu sebelum ini menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBR) menerusi rekod ‘The Largest Number of People Wearing or Having Songket Elements as Part of Their Dressing’ pada 2018 dengan penyertaan 4,878 peserta.

Pada 2019, ISR turut mencatat rekod ‘The Largest Participation in a Songket Running Event’ membabitkan 4,868 peserta.

Bagi edisi 2026, ISR 6.0 diiktiraf ASEAN Records dan Asia Records sebagai ‘The First and Largest Simultaneous Songket Dedicated Run Across Multiple Campuses and Venues’.

Penganjuran acara itu bukan sahaja menjadi platform mempromosikan gaya hidup sihat, malah memperkenalkan warisan seni tenunan songket kepada generasi muda menerusi pendekatan moden.

Inisiatif berkenaan turut menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), khususnya SDG 3 berkaitan kesihatan dan kesejahteraan, SDG 11 bagi bandar dan komuniti mampan serta SDG 17 berkaitan kerjasama untuk mencapai matlamat. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN