KOTA BHARU – Seorang buruh mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan memiliki sebilah pisau di tempat awam tanpa alasan munasabah dan sepucuk senapang tiruan tanpa lesen di hadapan sebuah hotal di sini April lalu.
Tertuduh, Mohd. Zulkarami Ruslan, 45, membuat pengakuan itu selepas kedua-dua pertuduhan tersebut dibacakan di hadapan Hakim Zulkifli Abllah.
Lelaki itu didakwa memiliki pisau berukuran 30 sentimeter di tempat awam tanpa maksud yang sah atau kebenaran daripada pihak berkuasa di hadapan sebuah hotel di Jalan Pantai Cahaya Bulan di sini pada pukul 11 malam, 30 April lalu.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan sebatan, jika disabitkan kesalahan.
Mohd. Zulkarami turut dituduh memiliki senapang tiruan tanpa lesen yang sah di lokasi dan pada tarikh dan masa sama. Dia didakwa mengikut Seksyen 36(1) Akta Senjata 1960 yang membawa hukuman penjara setahun atau denda sehingga RM5,000 atau kedua-duanya.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Syazalia Che Suhaimin, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 12 Ogos ini untuk pembentangan fakta kes dan prosiding jatuh hukum. – KOSMO! ONLINE















