KUALA LUMPUR – Pelbagai insentif yang diperkenalkan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) berjaya meningkatkan kadar sara diri (SSR) sektor agromakanan negara, terutama bagi subsektor ternakan sekali gus mengukuhkan keterjaminan bekalan makanan.
Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Chan Foong Hin berkata, antara inisiatif yang dilaksanakan ialah Program Pengganda30 menerusi geran padanan 90:10 bagi memperkasakan penternak tempatan serta Program Pengukuhan Pengeluaran Tenusu Negara.
Menurut beliau, data awalan menunjukkan SSR daging lembu dan kerbau meningkat kepada 18.4 peratus pada 2025 berbanding 16.8 peratus pada 2024 dan 15.9 peratus pada 2023.
“Bagi pengeluaran susu pula, data awalan 2025 merekodkan 66 juta liter dengan SSR meningkat daripada 66.7 peratus pada 2024 kepada 81.8 peratus pada 2025,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Shaharizukirnain Abd. Kadir (PN-Setiu) mengenai keberkesanan insentif kepada negeri-negeri pengeluar pertanian dalam meningkatkan SSR domestik susulan kenaikan kos input pertanian akibat krisis di Asia Barat.
Foong Hin berkata, kerajaan turut menyusun semula Program Pemerkasaan Agromakanan Negara (PPAN) 2026 dengan memberi tumpuan kepada projek berimpak tinggi.
“Sehingga 30 Jun lalu, sebanyak 20 projek berimpak tinggi bernilai RM17.381 juta telah diluluskan di Terengganu melibatkan subsektor tanaman, ternakan dan perikanan,” katanya.
Beliau turut memaklumkan seramai 13.61 juta isi rumah telah menerima manfaat menerusi Program Jualan Agro Madani (JAM), dengan 1,833 program dilaksanakan melibatkan nilai jualan RM46.72 juta serta anggaran penjimatan pengguna sebanyak RM14.02 juta.
Mengulas isu bekalan air di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), beliau berkata KPKM akan melaksanakan pembinaan empangan dan menaik taraf sistem saliran bagi memastikan bekalan air mencukupi untuk penanaman padi.
Katanya, kementerian juga sedang meneliti kaedah meningkatkan hasil padi berikutan keluasan jelapang padi di Kedah semakin mengecil akibat persaingan penggunaan tanah antara sektor pertanian dan pembangunan perumahan. – KOSMO! ONLINE.















