fbpx
Gambar hiasan.

LCS perlu siap ikut jadual, hantar laporan setiap tiga bulan – PAC

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mengarahkan supaya kelima-lima Kapal Tempur Pesisir (LCS) disiapkan dan diserahkan mengikut jadual serta peruntukan yang telah dipersetujui.

Pengerusinya, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, langkah tersebut bagi mengelakkan lebih banyak kerugian sekiranya berlaku kelewatan baharu selepas kerajaan membelanjakan sebahagian besar dana awam bagi projek bernilai RM11.22 bilion itu.

Jelasnya, pemantauan rapi terhadap projek pembinaan LCS sentiasa dilakukan bagi memastikan lima kapal yang dirancang dapat diserahkan kepada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) mengikut tempoh ditetapkan.

“Setakat Disember 2025, kemajuan fizikal keseluruhan projek mencapai 75.73 peratus, manakala kapal pertama LCS1 mencatatkan kemajuan 82.90 peratus. LCS 1 telah berjaya menjalani ujian laut (sea going) pada 28 Januari lalu dengan kelajuan tujuh knot, namun tarikh penghantarannya terpaksa dipinda kepada Disember 2026, lewat empat bulan daripada jadual asal.

“LCS 2 pula dijangka diserahkan pada Ogos 2027, manakala tarikh serahan LCS3 hingga LCS5 masih kekal mengikut kontrak iaitu April 2029,” katanya pada sidang akhbar di Parlimen hari ini.

Sebagai langkah pemantauan juga, Mas Emeryati berkata, PAC akan mengarahkan Kementerian Pertahanan (Mindef) dan TLDM mengemukakan laporan kemajuan projek LCS secara bertulis setiap tiga bulan bermula Mei bagi memastikan sebarang kelewatan atau isu baharu dapat dikesan lebih awal.

Menurut beliau, syor itu merupakan antara enam cadangan PAC bagi memperkukuh pemantauan terhadap projek LCS yang sebelum ini berdepan pelbagai kelewatan.

“PAC turut memanggil Mindef pada 23 Jun lalu untuk mendapatkan taklimat terperinci berhubung implikasi pembatalan lesen eksport NSM oleh Norway,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN