fbpx
Gambar hiasan

Eksport halal Malaysia meningkat kepada RM68.52 bilion – MITI

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Eksport halal Malaysia meningkat kepada RM68.52 bilion pada tahun 2025 berbanding RM61.78 bilion pada tahun sebelumnya, mencatatkan pertumbuhan sebanyak 10.9 peratus.

Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) berkata, prestasi itu disokong oleh reputasi pensijilan halal Malaysia yang diiktiraf, ekosistem industri yang lengkap serta infrastruktur pembangunan halal yang kukuh.

“Eksport tersebut terdiri daripada sektor makanan dan minuman, ramuan halal, derivatif minyak sawit, kosmetik dan penjagaan diri, farmaseutikal serta industri kimia.

“Eksport halal turut menyumbang 4.3 peratus daripada jumlah keseluruhan eksport negara, sekali gus mencerminkan potensi besar untuk terus berkembang sejajar dengan pertumbuhan pasaran halal global,” katanya.

MITI berkata demikian dalam jawapan bertulis kepada Tan Sri Mahiaddin Mohd. Yassin (PN-Pagoh) yang meminta kementerian menyatakan sama ada potensi eksport halal Malaysia telah dimanfaatkan sepenuhnya serta strategi khusus pada tahun 2026 untuk menembusi pasaran baharu.

Kementerian itu berkata, kedudukan Malaysia sebagai peneraju industri halal global terus diperakui apabila negara kekal menduduki tempat pertama dalam Global Islamic Economy Indicator (GIEI) selama 11 tahun berturut-turut berdasarkan State of the Global Islamic Economy Report 2024/2025.

“Berdasarkan laporan tersebut, Malaysia telah merangkul tempat pertama dalam sektor makanan halal, kewangan Islam, media dan rekreasi, kosmetik dan farmaseutikal serta pelancongan mesra Muslim.

“Sehubungan dengan itu, Kerajaan akan terus memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab halal global melalui pendekatan yang berteraskan inovasi, penerokaan pasaran baharu, peningkatan nilai tambah produk serta pengukuhan keupayaan syarikat tempatan untuk bersaing di peringkat antarabangsa,” katanya.

Pada tahun 2026, kerajaan melalui MITI serta agensi berkaitan akan meneruskan pelaksanaan strategi utama bagi memperkukuh eksport halal negara.

Menurut MITI, strategi itu akan menumpukan kepada peluasan pasaran baharu dan pengukuhan pasaran sedia ada melalui promosi eksport bersepadu, platform perdagangan halal antarabangsa, misi perdagangan, padanan perniagaan, promosi digital dan risikan pasaran.

“Tumpuan turut diberikan kepada pasaran berpotensi tinggi di Asia Timur, Asia Tenggara, Asia Barat dan pasaran bukan tradisional, disokong kerjasama dua hala serta pelbagai hala bagi menangani isu akses pasaran, halangan teknikal dan pematuhan standard.

“Eksport Malaysia juga telah mula memasuki beberapa pasaran baharu pada tahun 2025 seperti Kenya, Nigeria, Tanzania, Algeria, Uzbekistan, Togo dan Maghribi,” katanya.

MITI berkata, Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) akan terus mempergiatkan program promosi perdagangan, misi perdagangan, penyertaan dalam pameran antarabangsa serta Program Penyumberan Antarabangsa (INSP).

Sementara itu, pada tahun 2025, MITI berkata, eksport makanan dan minuman halal berjumlah RM36.86 bilion, manakala ramuan halal berjumlah RM21.39 bilion.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN