fbpx
Shanorbiah ketika hadir Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini. Foto oleh Amir Khalid/KOSMO!

Pelakon drama Gerak Khas, Tisha Samsir nafi terlibat dadah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Seorang pelakon wanita drama kepolisan Gerak Khas 2.0 mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan memberikan diri sendiri tiga jenis dadah Selasa lalu.

Tertuduh Shanorbiah Shamsir Alam, 40, atau lebih dikenali sebagai Tisha Shamsir membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Khairunnisak Hassni.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melalui ujian air kencingnya didapati memberikan kepada diri sendiri dadah jenis Methamphetamine, Amphetamine dan Ketamin.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di tandas Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi di sini pukul 7.30 pagi pada 7 Julai lalu yang didakwa mengikut Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah seksyen yang sama dalam akta yang sama.

Berikutan pengakuan tidak bersalah tertuduh, Timbalan Pendakwa Raya Nurainna Maryam Norazman menawarkan jaminan sebanyak RM4,000 dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun tertuduh yang diwakili peguam Nik Azhar Nik Adib daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) memohon jumlah jaminan dikurangkan dengan alasan tertuduh yang telah berpisah dengan suaminya menanggung ibu dan bapa yang sudah tua.

“Tujuan jaminan bagi memastikan kehadiran tertuduh. Sebelum ini tertuduh telah diberikan jaminan polis dan dia hadir sendiri ke mahkamah hari ini untuk menghadapi pertuduhan. Oleh itu pohon jumlah jaminan minima diberikan,” kata peguam itu.

Selepas mendengar permohonan kedua-dua belah pihak, Majistret Khairunnisak membenarkan tertuduh diikat jamin RM1,000 dan menetapkan 8 Oktober ini bagi sebutan semula kes.

Terdahulu Kosmo! melaporkan pelakon itu ditahan bersama beberapa individu lain dalam serbuan Op Noda di sebuah pusat hiburan di ibu negara.

Sementara dalam perkembangan lain, pemilik Skop Production, Datuk Yusof Haslam menegaskan bahawa pihaknya tidak berkompromi terhadap mana-mana pelakon di bawah syarikatnya yang terpalit dengan penyalahgunaan dadah.

Penerbit drama kepolisan Gerak Khas itu menyatakan pendirian susulan penahanan seorang pelakon yang membintangi drama Gerak Khas 2.0 bagi membantu siasatan selepas disyaki positif dadah jenis methamphetamine.

Katanya, pihak Skop Production turut mengambil tindakan dengan menggugurkan pelakon terbabit serta-merta meskipun hanya berbaki dua episod untuk menamatkan penggambaran. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN