KUALA LUMPUR – Penyanyi Nabila Razali belum sedia ‘melepaskan’ anaknya, Nik Muhammad Nik Iruwan yang baru berusia 18 bulan terbabit dalam arena komersial biarpun menerima beberapa tawaran daripada jenama terkemuka.
Nabila atau nama sebenarnya Nur Nabila Mohd. Razali, 33, akur demi menghormati keputusan suaminya, Nik Iruwan Nik Izani yang mahu menjaga privasi keluarga terutama permata hati mereka yang masih kecil.
“Buat masa sekarang saya menghormati keputusan suami. Ada beberapa tawaran datang, tetapi saya anggap belum rezeki Nik Muhammad lagi.
“Kebanyakan jenama bekerjasama dengan saya sahaja dan saya sendiri enggan melibatkan orang lain termasuk anak,” katanya selepas majlis menandatangani perjanjian kerjasama bersama jenama Bliss Juice, Smoothie & Dessert, di sini, semalam.
Menurut pelantun lagu Pematah Hati itu, dia pernah meminta izin suami, namun keputusan untuk tidak terlalu mendedahkan wajah anak tetap menjadi perkara dipersetujui bersama.
Pada masa sama, Nabila turut meluahkan kebimbangan terhadap penyalahgunaan teknologi termasuk kecerdasan buatan (AI) yang menguatkan lagi pendirian mereka agar lebih berhati-hati dalam berkongsi foto anak kepada umum.
“Dalam keadaan dunia sekarang yang macam-macam berlaku termasuk penggunaan AI, saya sendiri pun jadi takut. Suami bukan menyembunyikan anak, tetapi sekadar mengawal demi menjaga privasi keluarga.
“Dia juga faham situasi saya apabila ada sesetengah jenama meminta penglibatan anak untuk menghasilkan kandungan, walaupun tidak terlibat secara langsung.
“Cuma ada sesekali saya berkongsi perkembangan anak di media sosial kerana ramai bertanya dan sekadar mahu memaklumkan Nik Muhammad ialah anak saya,” ujarnya.
Mengenai kolaborasi dengan Bliss Juice, Smoothie & Dessert pula, katanya perkara tersebut juga merupakan antara langkah awal untuk mengembangkan sayap dalam dunia perniagaan.
Malah, dia mengakui turut terlibat secara langsung dalam aspek pengurusan dan pemasaran serta bakal memperkenalkan perisa pilihannya sendiri dalam masa terdekat.
Terdahulu Nabila mendirikan rumah tangga Nik Iruwan juga ahli perniagaan pada November 2023 dan dikurniakan Nik Muhammad pada 23 Disember 2024. – KOSMO! ONLINE














